*2.67.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 65-66*
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina”.
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang bertaqwa.

Bani Israel telah melakukan pencerobohan terhadap kesucian hari Sabtu, di mana pada hari tersebut Allah telah mengharamkan Bani Israel daripada bekerja. Semenjak zaman Nabi Musa lagi, hari Sabtu merupakan hari yang dikhususkan kepada Bani Israel untuk beribadat.

Setelah berlalunya waktu yang lama Bani Israel telah diuji oleh Allah dengan didatangkan kepada mereka ikan pada hari Sabtu, sedangkan pada hari lain ikan itu tidak muncul.

Sekumpulan Bani Israel yang tinggal di tepi laut itu merasakan bahawa peluang mereka untuk mendapat rezeki pada hari Sabtu tidak boleh dilepaskan.

Mereka telah bertindak melanggar perintah Allah yang sekelian lama diwarisi semenjak zaman Nabi Musa lagi. Ibnu Asyur berpendapat bahawa tempat terjadinya peristiwa ini ialah sebuah bandar yang dinamakan dengan Aqabah pada hari ini.

Para ahli tafsir berbeza pandangan berkaitan dengan hukuman Allah terhadap mereka, apakah mereka telah ditukarkan menjadi monyet sedangkan mereka mampu berfikir dan bertindak seperti manusia, atau yang dimaksudkan dengan menjadi monyet itu perangai dan kelakuan mereka sahaja, sementara jasad mereka tidak bertukar.

Kedua-dua pandangan ini mewakili dua aliran ahli tafsir yang berbeza, apa yang penting ialah hukuman Allah terhadap mereka yang ingkar kepada ajarannya.

Allah menjelaskan dengan terang disini bahawa hukuman yang diberikan kepada Bani Israel itu adalah bertujuan untuk menjadi peringatan dan amaran kepada generasi yang hidup di zaman mereka dan selepas mereka.

Sepatutnya manusia menjadikan kisah ini sebagai pengajaran agar mereka tidak menjadi masyarakat yang degil, mencintai kehidupan dunia dan membelakangi perintah Allah

Rabu
8 Shawal 1440
12 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *