*TADABBUR WAHYU SIRI 228*

*2.68.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 67-72*

Kisah Bani Israel disuruh menyembelih lembu ini berlegar dalam dua babak.

Pertama keadaan Bani Israel yang bergelut dengan arahan nabi Musa agar mereka menyembelih seekor lembu. Arahan yang mudah itu diikuti dengan berbagai takwilan dan helah yang semata-mata bertujuan untuk tidak melakukan suruhan tersebut.

Dalam babak ini mereka menyerlahkan sifat sebenar mereka terhadap nabi, bila mereka tergamak mengatakan bahawa nabi Musa telah memperolokkan mereka.

Bani Israel seterusnya menyelidiki perincian lembu yang perlu disembelih, walaupun arahan asal Allah adalah sangat mudah, apabila Allah hanya menyuruh mereka menyembelih mana-mana lembu.

Akibat daripada sikap mereka itu maka Allah telah menjadikan suruhan yang dulunya mudah, bertukar menjadi sukar apabila ditambahkan syarat-syarat seperti yang disebut dengan jelas dalam ayat sebelum ini.

Babak kedua pula ialah peristiwa pembunuhan seorang lelaki yang menjadi pertikaian dikalangan Bani Israel tentang siapakah yang sebenarnya membunuh mangsa tersebut.

Mereka sebenarnya bukan tidak boleh menyiasat dan menemui pembunuh itu tetapi mereka sebenarnya tidak mahu berbuat demikian demi menjaga agar tidak ada dikalangan Bani Israel yang dihukum diatas kesalahan tersebut.

Kedua-dua babak ini jelas sekali memberikan pengajaran kepada manusia bahawa tidak seharusnya sikap negatif seperti itu menjadi amlan orang yang beriman.

Melaksanakan perintah Allah dengan menjaga roh agama yang sentiasa memudahkan manusia dan tidak bertujuan membawa kesusahan adalah sangat perlu dihayati dengan baik. Selain itu melaksanakan peraturan dan undang-undang tanpa memberikan keistimewaan kepada golongan tertentu sebagai pengecualian dalam menegakkan keadilan adalah rahsia kebahagiaan manusia di dunia dan kesejahteraan hidup bermasyarakat. Semoga umat Islam dapat menghayati pengajaran kisah ini yang sangat penting dan perlu diberikan perhatian.

Jumaat
10 Shawal 1440
14 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *