*TADABBUR WAHYU SIRI 232*

*2.72.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 77-78

أَوَلَا يَعْلَمُونَ أَنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا يُسِرُّونَ وَمَا يُعْلِنُونَ
وَمِنْهُمْ أُمِّيُّونَ لَا يَعْلَمُونَ الْكِتَابَ إِلَّا أَمَانِيَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَظُنُّونَ

Dan tidakkah mereka ketahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka lahirkan?

Dan di antara mereka pula ada orang-orang yang buta huruf, mereka tidak mengetahui akan isi Kitab Taurat selain dari penerangan-penerangan bohong (dari ketua-ketua mereka), dan mereka hanyalah berpegang kepada sangkaan-sangkaan sahaja.

Tindakan orang-orng munafik telah menampakkan bahawa mereka sebenarnya tidak beriman dangan iman yang teguh terhadap ilmu Allah yang maha mengetahui segala yang terang dan tersembunyi.

Lalu keimanan yang lemah itu telah membuatkan mereka tergamak berpura-pura didepan manusia.

Didalam perbincangan yang lepas telah diterangkan bahawa antara aktiviti orang-orang munafik ialah menyelewengkan kitab Allah dan ajaran agama.

Orang yang melakukan perbuatan demikian mestilah dari kalangan mereka yang dianggap berilmu dan dipercayai oleh masyarakat.

Kini, Allah menerangkan pula bahawa bukan orang yang demikian sahaja yang menjadi kaum munafik. Akan tetapi ada juga yang menyertai kumpulan dan puak mereka itu orang-orang yang jahil.

Kejahilan golongan ini disifatkan oleh al-Quran dengan perkataan umiyyin. Perkataan umiyyin ini pada asalnya merujuk kepada ummi yang bermaksud ibu. Ia juga merujuk kepada perkataan ummah iaitu merujuk kepada maksud orang-orang kebanyakan.

Perkataan ummi dalam Bahasa arab akhirnya juga digunakan bagi merujuk kepada orang yang tidak pandai membaca dan menulis.

Apa yang jelas, mereka yang menentang dakwah yang dibawa oleh nabi, telah digambarkan oleh ayat ini terdri daripada orang-orang yang dianggap beragama dan ada pula dikalangan orang jahil.

Sifat orang jahil itu dijelaskan dengan mereka itu tidak beriman kecuali pada tahap ‘amaniy’ bermaksud angan-angan. Ini kerana golongan yang jahil sering kali menjadi mangsa kepada penipuan golongan cerdik pandai yang mempunyai kepentingan dan berhati busuk. Mereka tergamak menjanjikan pahala, kedudukan di syurga dan berbagai janji palsu.

**Umat Islam perlulah menimba ilmu dan melengkapkan diri dengan pengetahuan agar mereka tidak menjadi mangsa terhadap orang yang memutar belitkan fakta dan memberikan maklumat dengan cara yang salah.

Selasa
14 Shawal 1440
18 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *