*TADABBUR WAHYU SIRI 233*

*2.73.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 79*

فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ يَكْتُبُونَ الْكِتَابَ بِأَيْدِيهِمْ ثُمَّ يَقُولُونَ هَٰذَا مِنْ عِندِ اللَّهِ لِيَشْتَرُوا بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا ۖ فَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا كَتَبَتْ أَيْدِيهِمْ وَوَيْلٌ لَّهُم مِّمَّا يَكْسِبُونَ

Kecelakaan besar bagi orang-orang yang menulis Kitab Taurat dengan tangan mereka (lalu mengubah Kalam Allah dengan rekaan-rekaan mereka), kemudian mereka berkata: “Ini ialah dari sisi Allah”, supaya mereka dengan perbuatan itu dapat membeli keuntungan dunia yang sedikit. Maka kecelakaan besar bagi mereka disebabkan apa yang ditulis oleh tangan mereka, dan kecelakaan besar bagi mereka dari apa yang mereka usahakan itu.

Ayat ini telah memperincikan salah satu daripada dua kumpulan yang sesat, yang telah disebut keadaan mereka sebelum ini.

Kumpulan pertama ialah yang menyelewengkan agama, yang melakukan jenayah sedangkan mereka sedar dengan kejahatan yang mereka lakukan.

Kumpulan kedua Ish mereka yang jahil, yang terpedaya dengan tipu daya, kata-kata dan janji-janji dari mereka yang bertopengkan agama. Kumpulan ini terpengaruh kerana menyangka apa yang diseru oleh kumpulan yang pertama itu sebagai benar dan berada pada landasan yang tepat.

Setelah menerangkan kewujudan dua kumpulan tersebut al-Quran memperincikan lagi kumpulan yang pertama. Mereka yang bertopengkan agama dalam melakukan agenda yang sebenarnya bukanlah iman dan taqwa tetapi kesesatan dan penyelewengan.

Allah menggunakan perkataan yang keras terhadap mereka kerana golongan seperti ini mudah mencari pengaruh dan masyarakat awam senang terpedaya dengan mereka, mereka bercakap atas nama agama tapi sebenarnya merekalah musuh agama.

Perkataan “wail” merujuk kepada makna celaka yang sekaligus menggambarkan betapa murkanya Allah kepada orang yang dimaksudkan.

Apakah tindakan mereka sehingga dimurkai Allah? Mereka telah menulis tulisan dan mengatakannya kitab Allah.

Bukan yang penting disini tulisan semata-mata tapi dakwaan mereka samada tulisan atau percakapan, sebarang maklumat yang dibohongi atas nama ianya dari Allah, itulah yang dimaksudkan.

Perkataan “wail” bermaksud celaka ini telah diulang sebanyak 3 kali menunjukkan kemurkaan Allah yang sangat besar kepada orang yang menyelewengkan agama ini. Tidak terdapat ayat didalam Al-Quran yang meletakkan tiga kali perkataan wail didalalam satu ayat kecuali ayat ini.

Keadaan ini menunjukkan kepada kita bahawa kemurkaan Allah kepada orang yang menyelewengkan agama lebih dari kemurkaanmu Allah terhadap jenayah-jenayah yang lain. Mengapa tidak sedangkan masyarakat telah memberikan kepercayaan kepada mereka lalu mereka mengkhianati kepercayaan tersebut.

Rabu
15 Shawal 1440
19 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *