*2.74.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 80*
وَقَالُوا لَن تَمَسَّنَا النَّارُ إِلَّا أَيَّامًا مَّعْدُودَةً ۚ قُلْ أَتَّخَذْتُمْ عِندَ اللَّهِ عَهْدًا فَلَن يُخْلِفَ اللَّهُ عَهْدَهُ ۖ أَمْ تَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Dan mereka berkata: “Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa hari yang tertentu”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu sudah mendapat janji dari Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janjiNya, atau hanya kamu mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?”

Orang-orang yang dari golongan pertama dalam kumpulan yang dimurkai Allah, mereka adalah orang yang menyelewengkan agama Allah untuk mendapat kepentingan keduniaan.

Mereka memberikan janji mereka kepada pengikut yang jahil dan mengikut dengan membuta tuli, janji itu seolah-olah mereka dapat berhubung dengan Allah dan mengambil berita dari tuhan.

“Kami sekali-kali tidak akan disentuh oleh api neraka”, inilah angan-angan yang disebarkan kepada pengikut agar mereka tetap akur dan patuh tanpa usul periksa, agar taat tanpa melihat kebenarankah yang diikuti atau keburukan.

Mereka meletakkan diri mereka sebagai orang suci yang wajib mendapat pengampunan dari Allah.
Jesteru, ayat ini memberikan panduan kepada umat Islam, apabila berdepan dengan dakwaan seperti ini, ‘adakah kamu mendapat janji itu dari Allah? Pertanyaan ini sangat simbolik.

Persoalan ini sebenarnya mengajak umat Islam kepada perinsip asas dalam berfikir iaitu mengetahui sandaran dan hujah dalam menilai sesuatu dakwaan. Ini kerana Islam telah mengangkat martabat manusia supaya tidak menjadi hamba sesama manusia.

Dakwaan terhadap sesuatu fakta perlu dinilai dengan neraca ilmu yang boleh dijejaki oleh mereka yang memilikinya.

Adapun menjadikan hak untuk berhubung dengan Allah melalui wahyu adalah terhenti kepada rasul yang diutuskan oleh Allah semata-mata.

Pertanyaan apakah kamu mendapat janji itu dari Allah telah membuktikan bahawa janji untuk tidak disentuh oleh api neraka itu hanyalah penipuan semata-mata, kerana janji itu datang dari ciptaan mereka yang menyelewengkan agama itu tadi, bukan janji dari Allah.

16 Shawal 1440
20 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *