*TADABBUR WAHYU SIRI 236*

*2.76.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 83*

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَ بَنِي إِسْرَائِيلَ لَا تَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّهَ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ ثُمَّ تَوَلَّيْتُمْ إِلَّا قَلِيلًا مِّنكُمْ وَأَنتُم مُّعْرِضُونَ

Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat”. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.

Sepertimana yang telah dijelaskan sebelum ini, apa yang dimaksudkan dengan perjanjian ialah penurunan syariat melalui nabi Musa. Di dalam ayat ini, Allah memperincikan kandungan perjanjian tersebut yang telah dijelaskan secara umum sebelum ini.

Ayat ini mengikut Ibnu Asyur, mengandungi dua mesej, pertama kata-kata yang ditujukan kepada Bani Israel di zaman nabi Musa, kedua pula kata-kata yang di tujukan kepada Bani Israel di zaman turunnya al-Quran.

Gaya bahasa seperti ini mengikut beliau adalah perlu bagi mengingatkan kepada Bani Israel bahawa mereka adalah subjek sebenar dalam penceritaan ayat ini.

Dalam erti kata yang lain, cerita-cerita sejarah itu sepatutnya dijadikan iktibar oleh Bani Israel di zaman nabi Muhammad saw.

Sememangnya orang yang telah menerima perjanjian dahulu adalah generasi terawal mereka, akan tetapi tuntutan yang sama masih kekal kerana kesinambungan Bani Israel dari sudut keturunan, agama dan dari sudut kemanusiaan.

** melalui tuntutan-tuntutan yang disebut oleh Allah didalam ayat di atas, jelas sekali bahawa syariat nabi Musa pada dasarnya menyerupai syariat nabi Muhammad saw dari sudut asas pensyariatan, tuntutan untuk mentauhidkan Allah, berbuat baik kepada manusia , melakukan ibadat dan mengeluarkan harta pada jalan Allah, ia adalah merupakan asas penting ajaran Nabi Muhammad saw juga.

Dengan itu ayat ini dapat difahami bahawa Allah mahu menyatakan bahawa siapa sahaja yang bersikap seperti Bani Israel, maka mereka adalah orang yang tercela tidak kira dimana sahaja mereka berada dan pada zaman mana mereka hidup.

Inilah intipati sebenar al-Quran yang sememangnya di turunkan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad saw. Dengan penceritaan ini sekali lagi al-Quran menggunakan sejarah sebagai bahan pendidikan, dengan nilai-nilai kemanusiaan sebagai satu dasar yang dijadikan perkongsian buat generasi seluruhnya.

Sabtu
18 Shawal 1440
22 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *