*TADABBUR WAHYU SIRI 237*

*2.77.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 84*

وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ لَا تَسْفِكُونَ دِمَاءَكُمْ وَلَا تُخْرِجُونَ أَنْفُسَكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ ثُمَّ أَقْرَرْتُمْ وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ

Dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu: “(Bahawa) janganlah kamu menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan) sesama sendiri, dan janganlah kamu usir-mengusir sesama sendiri dari kampung masing-masing”. Kemudian kamu telah berikrar mematuhi perjanjian setia itu, dan kamu sendiri pula menjadi saksi (yang mengakui kebenarannya).

Ayat ini memperincikan lagi syariat Allah yang dibawa oleh nabi Musa, ia disebut sebagai “perjanjian” kerana syariat adalah satu tanggungjawab dan tugas yang mesti diamalkan oleh manusia.

Allah telah mengharamkan Bani Israel dari berbunuhan sesama sendiri, mereka diharamkan menghalau pihak yang kalah dalam peperangan dari tempat kediaman mereka.

Bani Israel terdahulu telah menerima syariat ini sebagai amalan mereka namun terdapat juga mereka yang melangar arahan Allah ini.

Dalam ayat ini sebenarnya al-Quran menyebut  “la tasfikuna dimaakum”, secara literalnya bermaksud janganlah kamu menumpahkan darah kamu.

Begitu juga Alah melarang perbuatan mengusir pihak yang kalah dengan mengatakan “janganlah kamu semua mengeluarkan diri kamu dari rumah kamu”.

Ayat ini tidak bermaksud Bani Israel tidak dibenarkan keluar dari rumah atau negeri mereka, tetapi ayat ini dinyatakan sedemikian rupa bagi memberi isyarat kepada kedudukan bagi Israel yang sepatutnya, merasakan utuhnya persaudaraan dan ukhuwah sesama sendiri. Nyawa orang lain yang terbunuh seperti dianggap seperti nyawa sendiri dan mengeluarkan orang lain dari rumah mereka itu sepertilah keadaan kamu menghalau diri kamu sendiri.

**Kedua-dua larangan yang telah disyariatkan oleh Allah kepada Bani Israel juga disyariatkan kepada umat nabi Muhammad. Umat Islam dilarang berbunuhan dan menzalimi sesama sendiri.

Perlu diingat bahawa larangan mezalimi sesama Islam hanyalah demi menunjukkan ketegasan larangan dan keutamaan sahaja.

Ini kerana umat Islam dilarang menzalimi siapa sahaja samada Islam atau bukan islam. Bahkan umat islam dilarang menzalimi semua makhluk Allah samada manusia atau haiwan.

Ahad
19 Shawal 1440
23 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *