*TADABBUR WAHYU SIRI 239*

*2.78.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 85*

Kemudian kamu ini (wahai Bani Israil), kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri dan kamu usir satu puak dari kaum kamu keluar dari kampungnya; kamu pula saling bantu-membantu (dengan orang lain) untuk menentang mereka dengan melakukan dosa dan penganiayaan; padahal kalau mereka datang kepada kamu sebagai orang tawanan, kamu tebus mereka; sedang perbuatan mengusir mereka diharamkan juga atas kamu. Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.

Seperti diberitahu sebelum ini bahawa Bani Quraizah dan Bani Nadhir menyokong Aus, sementara Bani Qainuqa menyokong Khazraj.

Hasil daripada perbezaan pendirian ini, Bani Israel telah terlibat di dalam peperangan sesama sendiri, bukan itu sahaja bahkan mereka mengusir pihak yang kalah dari kediaman mereka tanpa rasa bersalah.

Namun demikian apabila peperangan tamat mereka membayar tebusan supaya tawanan daripada kalangan Bani Israel dapat dibebaskan. Alasan mereka ialah ajaran kitab Taurat menyuruh mereka membebaskan tawanan perang walaupun melalui pampasan.

Sikap Bani Israel ini telah ditegur oleh Allah kerana mereka melihat tuntutan membebaskan tawanan sebagai perlu dipatuhi, kerana ia disebut di dalam kitab Allah.

Namun demikian, amat mengecewakan apabila mereka tetap melancarkan peperangan sesama sendiri, mereka juga menghalau pihak yang kalah. Mengapa perbuatan ini tidak dielakkan Bani Israe? Mengapa mereka berasa tidak berdosa ketika melanggarnya larangan tersebut?

Allah mempersoalkan sifat Bani Israel yang taat kepada Allah secara terpilih. Suruhan yang membawa kepentingan diri dan keduniaan diterima oleh mereka sementara tuntutan yang bersifat menjaga kemaslahatan awam telah diabaikan dan dilanggar oleh mereka.

Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa balasan Allah terhadap mereka yang menerima agama dan menolaknya berdasarkan nafsu, akan dikenakan dengan kehinaan di dunia sementara di akhirat mereka akan menerima azab yang pedih.

Isnin
20 Shawal 1440
24 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *