*TADABBUR WAHYU SIRI 240*

*2.79.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 86*
أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ ۖ فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ

Itulah orang-orang yang membeli kehidupan dunia dengan (kehidupan) akhirat, maka tidak akan diringankan siksa mereka dan mereka tidak akan ditolong.

Disepanjang perbincangan al-Quran, didapati penggunaan gaya ini banyak sekali digunakan. Gaya yang dimaksudkan ialah Allah mengumpamakan orang-orang yang memilih untuk melakukan keburukan di dunia, seperti orang yang berjual beli. Mereka dianggap telah memperdagangkan kehidupan mereka.

Ini kerana masa yang ada di dunia ini ibarat harta bagi manusia, ia adalah aset berharga yang perlu dilaburkan kepada perkara yang mendatangkan kebaikan yang bersifat jangka panjang.

Pelaburan dalam kehidupan di dunia ini akan rugi jika manusia sanggup untuk mengorbankan keuntungan sebenar iaitu kehidupan di akhirat yang bersifat jangka panjang.

Dalam ayat ini Allah menggunakan perkataan “ishtarau” yang bermaksud mereka membeli, apabila seseorang membeli maka akan bertukar miliklah barang yang dibeli.

Maka disini, diumpamakan orang-orang Yahudi seperti orang yang telah memiliki satu barang yang bernama akhirat, tetapi mereka tidak menghargai dan tidak mahu memilikinya. Mereka dengan itu menukarkan akhirat tersebut dengan barang lain yang bernama dunia.

Alangkah halusnya perumpamaan yang diberikan. Mereka telah diutuskan nabi dan diturunkan syariat tetapi enggan menerima pemberian Allah itu, lalu mereka memilih jalan dan perlakuan yang salah dengan itu mereka berhak menerima balasan yan buruk.

**Adalah sangat perlu diingatkan bahawa Allah menyebut perlakuan Bani Israel yang menyeleweng dan balasan yang mereka terima dengan kata-kata jama’ iaitu kata ramai.

Hal ini mengingatkan kepada masyarakat betapa keadaan masyarakat secara kolektif itu perlu diberikan penekanan dan bukan hanya melihat kepada individu secara bersendirian semata-mata.

22 Shawal 1440
26 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *