*TADABBUR WAHYU SIRI 241*

*2.80.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 87*

Ayat 87
وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَقَفَّيْنَا مِن بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ ۖ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ ۗ أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَىٰ أَنفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ

Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?

Kali ini al-Quran memaparkan episod kejahatan Bani Israel dalam berhubung dengan rasul-rasul. Jika sekiranya nenek moyang mereka dahulu telah menerima nabi Musa , tetapi keturunan mereka selepas itu telah bertindak kasar dan ganas terhadap para nabi. Sebahagian kecil  sahaja daripada mereka yang setia dengan rasul-rasul tersebut sedangkan kebanyakan mereka menolak nabi-nabi yang diutuskan dan membunuh sebahagian daripada mereka.

Mengapakah keadaan itu berlaku? al-Quran memberikan jawapan terhadap persoalan ini. Mereka menolak ajaran para rasul kerana ajaran tersebut tidak sehaluan dengan nafsu mereka.

Para rasul mengajak kepada mensucikan Allah, melakukan kebaikan kepada seluruh manusia, bersikap adil dan merahmati manusia. Bani Israel seperti yang disebut di dalam ayat sebelum ini, suka berbunuhan, bertindak zalim dan menghalau mereka yang lemah dari kediaman mereka. Selain itu Bani Israel suka menyelewengkan agama berdasarkan keinginan mereka lalu merekacipta ajaran sendiri, mengubah kitab suci. Itulah yang dikatakan hawa nafsu mereka, dan disebabkn perkara itu mereka enggan merendah diri dihadapan nabi-nabi utusan Allah.

Bagi menempelak Bani Israel, Allah menyebut bahawa Allah membangkitkan nabi-nabi selepas Musa as. Ini kerana Yahudi beriman dengan nabi musa dan tidak beriman dengan sebahagian nabi selepas nabi Musa. Dengan itu Allah menyebut secara khusus bahawa nabi Isa adalah utusan Allah dan nabi Isa dibantu oleh Jibrail.

Perkhabaran ini memberi tamparan hebat kepada Bani Israel yang tidak beriman kepada nabi Isa. Sebagaimana perbincangan ini mengisyaratkan kepada perutusan nabi Muhammad saw.

Mengikut Ibnu Asyur nama nabi Isa dalam bahasa Hebrew ialah Yusha’ bin Maryam. Tetapi disebabkan perkataan Yusha’ susah disebut oleh orang Arab, perkataan Yusha’ disebut sebagai Isa, sementara ibu nabi Isa bernama Maryam.

Walaupun menggunakan perkataan bahawa Hebrew tetapi perkataan Maryam tidak diubah mengikut kesesuaian bahasa Arab kerana perkataan Maryam mudah disebut oleh orang Arab.

Khamis
23 Shawal 1440
27 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *