*TADABBUR WAHYU SIRI 242*

*2.81.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 88*

وَقَالُوا قُلُوبُنَا غُلْفٌ ۚ بَل لَّعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَقَلِيلًا مَّا يُؤْمِنُونَ
Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: “Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam)”. (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknatkan mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sedikit benar mereka yang beriman.

Orang-oranag Yahudi berkata hati kami tertutup, begitulah alasan yang diberikan  oleh mereka, alasan mengapa mereka tidak beriman kepada dakwah yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.

Perkataan “ghulf” bermaksud sesuatu yang berada didalam bungkusan sebagai ibarat kepada hati mereka yang tidak dapat menerima dakwah nabi. Bani Israel seolah-olah menganggap mereka tidak bersalah diatas penolakan mereka terhadak dakwah keimanan kerana kononnya bukan mereka yang tidak mahu beriman tetapi Allah yang tidak memeberi hadayah kepada mereka, dengan itu mereka tidak dapat memahami apa yang dibawa oleh nabi.

Alasan seperti ini sering didengari daripada orang yang sengaja melakukan maksiat yang meletakkan tanggungjawab kepada tuhan bukan kepada diri mereka. Alasan Bani Israel ini tidak diterima oleh Allah bahkan tuhan menjelaskan, keengganan mereka itu datang dari diri mereka sendiri.

Kufur terhadap Allah adalah pilihan yang Allah berikan kepada diri manusia. Namun demikian disebabkan mereka itu telah menggunakan nama Allah sebagai alasan, maka jawapan kepada kekeliruan dan putar belit itu juga lebih keras daripada ayat-ayat yang lain.

Sebenarnya laknat Allah mengenai mereak disebabkan kekufuran diri mereka, dalam erti kata yang lain ialah Allah menjauhkan mereka daripada menerima kebenaran dan hati mereka tertutup kerana mereka telah kufur dengan ajaran Allah.

Apabila manusia telah menolak kebenaran dan asas keimanan kepada Allah maka bagaimaana mereka dapat menerima ajaran yang dibawa oleh nabi dan petunjuknya, sudah tentu ia akan semakin jauh dari kehidupan mereka.

Perkataan “maka sedikit dari kalangan mereka  yang beriman” boleh difahami dalam dua bentuk. Pertama disebabkan kedegilan dan kekufuran mereka maka kebanyakan mereka tidak menerima cahaya iman dari nabi.  Makna kedua bagi ayat ini ialah perkataan sedikit dalam bahasa Arab adalah merujuk kepada  makna “tidak ada”.

Jika difahami demikian, maka ayat di atas bermaksud tidak ada dikalangan mereka yang beriman.

** Manusia boleh memberi sebanyak mungkin dolak dalik di dunia tetapi alasan itu tidak semestinya diterima sebagai alasan di depan Allah.

Lebih baik bagi manusia untuk mengakui kesilapan dan berubah kearah kebaikan daripada sekadar cuba mencari alasan demi alasan.

Jumaat
24 Shawal 1440
28 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *