*2.83.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 90*

Alangkah buruk perbuatan mereka membeli kesenangan hidup dengan mengingkari Al-Quran yang telah diturunkan oleh Allah, kerana dengki Allah menurunkan dari limpah kurniaNya (wahyu) kepada sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (iaitu Nabi Muhammad s.a.w). Dengan sebab itu sudah sepatutnya mereka mendapat kemurkaan Allah bertalu-talu, dan orang-orang yang kafir itu akan beroleh azab sengsara yang menghinakan.

Perbuatan Bani Israel yang menolak kebenaran yang telah diketahui benarnya, sekali lagi diibaratkan seperti orang yang membeli kesalahan dengan membayar harganya dari kebenaran yang dimiliki, ibarat orang yagn menempah kesengsaraan dengan menggunakan kesenangan sebagai tukarannya.

Kali ini al-Quran menambah sedikit maklumat berkenaan Bani Israel yang selalu melakukan kejahatan dan kesalahan. Kali ini, dijelaskan mengapa mereka berkelakuan demikian, kerana mereka dengki dan tidak berpuas hati kerana Allah telah melantik nabi, bukan dari kalangan mereka.

Selama ini mereka menunggu-nunggu kedatangan nabi, selama ini mereka meminta Allah menghantar utusanNya kepada mereka. Rupanya, syarat yang diletakkan secara senyap oleh Bani Israel ialah, nabi yang diutuskan itu mestilah dari kalangan mereka sendiri.

Allah menguji hamba-Nya secara semulajadi, Bani Israel yang sangat taksub kepada kumpulan dan bangsa mereka telah diuji oleh Allah dengan kedatangan nabi bukan dari kalangan mereka.

Nampaknya keimanan kepada Allah Bani Israel tidak suci dan tulus. Mereka melebihkan keinginan diri dan nafsu yang bermaharajalela. Mereka tidak sanggup merendahkan diri dengan pilihan Allah, sedangkan pilihan allah itulah yang terbaik.

Bani Israel rela untuk menjadi hamba yang engkar semata-mata kerana mahukan nafsu mereka itu dituruti oleh Allah.
Sememangnya hamba yang tidak pandai merendah diri dihadapan tuhannya adalah mereka yang patut menerima balasan yang pedih.

Mereka sepatutnya berfikir dengan rasional, bagaimana mereka mahu dilantik sebagai rasul akhir zaman sekiranya mereka sendiri gagal menjadi umat contoh dihadapan bangsa lain.

Dengan mereka kufur kepada Allah dan menolak kedatangan rasul pilihanNya itu, secara langsung menjadi bukti betapa Bani Israel tidak layak untuk menjadi bangsa yang mengetuai risalah besar yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.

**Seringkali sifat taksub membuatkan manusia menolak kebenaran dan sanggup untuk bertindak diluar batas kebenaran. Seorang yang beriman melihat kebenaran sebagai kiblat yang menjadi arah tujuannya.

Ahad
26 Shawal 1440
30 Jun 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *