*TADABBUR WAHYU SIRI 245*

*2.84.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 91*
وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ ءَامِنُواْ بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ قَالُواْ نُؤۡمِنُ بِمَآ أُنزِلَ عَلَيۡنَا وَيَكۡفُرُونَ بِمَا وَرَآءَهُۥ وَهُوَ ٱلۡحَقُّ مُصَدِّقٗا لِّمَا مَعَهُمۡۗ قُلۡ فَلِمَ تَقۡتُلُونَ أَنۢبِيَآءَ ٱللَّهِ مِن قَبۡلُ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ.
Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Berimanlah kamu kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepada Nabi Muhammad)”, mereka menjawab: “Kami hanya beriman kepada apa yang telah diturunkan kepada kami (Taurat)”. Dan mereka ingkarkan (Kitab) yang lain yang diturunkan kemudian daripadanya, padahal Al-Quran itu benar lagi mengesahkan Kitab Taurat yang ada pada mereka. Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika demikian mengapa kamu membunuh Nabi-nabi Allah pada masa yang lalu kalaulah kamu benar-benar orang-orang yang beriman?”.

Begitulah sikap Bani Israel terhadap dakwah dan kebenaran. Apabila mereka diajak kepada keimanan mereka berkata hati kami tertutup, apabila mereka diajak untuk beriman kedatangan rasul yang dinantikan mereka berpaling dan enggan mendengarnya kerana mahukan orang yang membawa kebenaran itu mestilah dari kumpulan mereka.

Alasan yang diberikan ialah: Kami hanya beriman dan beramal dengan apa yang dibawa oleh nabi dari kalangan Bani Israel sahaja.

Begitulah alasan demi alasan yang diberikan oleh Bani Israel, sudah tentu alasan-alasan tersebut hanya mampu mengelirukan orang-orang yang jahil dari kalangan mereka.

Adapun disisi Allah, alasan tersebut tidak memberi sebarang erti dan tidak dapat melepaskan mereka dari hukuman Allah sedikit pun.

Sehubungan dengan tindakan Bani Israel itu, Allah telah menyuruh nabi saw menjawab alasan dan helah yang dikemukakan oleh mereka.

Arahan ini sebenarnya bukan hanya memberi gambaran cerita tentang jawapan nabi kepada tipu muslihat bani Israel tetapi memberi isyarat kepada setiap mereka yang cintakan ajaran nabi agar sentiasa menuntut ilmu dan mendalami agama agar segala kekeliruan yang disebarkan kepada masyarakat dapat dijawab dengan baik.

Isyarat juga diberikan kepada orang-orang yang berilmu bahawa mereka memikul tugas penting di dalam masyarakat, iaitu tugas menjelaskan segala kekeliruan yang sedang dihadapi oleh mereka.

Al-Quran menggunakan lojik yang mudah untuk difahami oleh siapa sahaja yang mengikuti kisah ini, jika benar Bani Israel hanya beriman kepada nabi-nabi dari bangsa mereka sahaja, maka mengapa pula ramai dikalangan nabi-nabi yang diutuskan oleh Allah telah dibunuh oleh Bani Israel.

Jawapan ini dikemukakan demi mendedahkan bahawa alasan yang diberikan oleh Bani Israel hanyalah alasan yang direka cipta untuk menyedapkan hati mereka sahaja.

Ia bukannya alasan sebenar yang berpijak dibumi yang nyata. Dalam ertikata yang lain, kamu mendakwa kamu beriman dengan nabi dari bangsa Israel sahaja, sedangkan dakwaan itu adalah pembohongan kerana nabi dari bangsa kamu sendiri pun sebenarnya telah kamu tolak, kerana kamu telah membunuh sebahagian daripada mereka.

**Sikap suka menciota alasan apabila tidak mahu menerima sesuatu adalah sikap yang tidak baik.

Isnin
27 Shawal 1440
1 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *