*2.86.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 93*
وَإِذْ أَخَذْنَا مِيثَاقَكُمْ وَرَفَعْنَا فَوْقَكُمُ الطُّورَ خُذُواْ مَا آتَيْنَاكُم بِقُوَّةٍ وَاسْمَعُواْ قَالُواْ سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا وَأُشْرِبُواْ فِي قُلُوبِهِمُ الْعِجْلَ بِكُفْرِهِمْ قُلْ بِئْسَمَا يَأْمُرُكُمْ بِهِ إِيمَانُكُمْ إِن كُنتُمْ مُّؤْمِنِينَ
Dan ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan kamu semasa Kami angkatkan bukit itu ke atas kamu “Ambilah yang Kami berikan kepada kamu itu dengan bersungguh-sungguh, dan dengarlah. Mereka menjawab: “Kami dengar, dan kami menderhaka”. Sedang kegemaran menyembah (patung) anak lembu itu telah meresap di dalam hati mereka, dengan sebab kekufuran mereka. Katakanlah Amatlah jahatnya apa yang disuruh oleh iman kamu itu kalaulah kamu orang-orang yang beriman”

Seperti yang dijelaskan sebelum ini, Ibnu Asyur mentafsirkan maksud ”Allah mengambil perjanjian daripada Bani Israel” adalah bermakna Allah menurunkan kepada mereka syariat. Ini kerana penghantaran rasul dan penurunan syariat menuntut sesuatu umat itu untuk tunduk dan patuh kepada kehendak Allah dan pensyariatannya.

Maksud mengangkat bukit diatas Bani Israel pula mengikut Ibnu Asyur bukan dalam maknanya yang zahir, tetapi bermaksud Allah menjadikan bukit yang tinggi berada bersebelahan dengan penempatan Bani Israel.

Mengikut beliau gaya bahasa ini disebut juga oleh allah apabila menceritakan nabi Ibrahim membina kaabah. Perkataan mengangkat dalam cerita nabi Ibrahim itu bermaksud nabi Ibrahim membina kaabah.

Allah menyuruh Bani Israel agar mengambil agama yang diberikan kepada mereka secara serius. Gelagat Bani Israel sebelum ini membuktikan bahawa mereka tidak bersungguh-sunggguh dalam mengamalkan agama, hanya ketika ketiadaan nabi musa selama bebarapa hari sahaja Bani Israel telah condong utnuk meningggalkan ajaran baginda dan menjadi penyembah berhala.

Bani Israel sering mencari helah dan alasan dalam menunailan kewajipan yang diberikan oleh Allah. Oleh itu pada kali ini Allah mengugut mereka untuk menjadikan gunung yang tinggi berdekatan dengan kediaman mereka itu akan menimpa mereka jika mereka tidak serius dalam mengamalkan agama Allah.

Reaksi Bani Israel terhadap seruan nabi Musa serta perjanjian mereka itu telah dirakamkan oleh Allah dalam bentuk kata-kata Bani Israel. “Kami dengar dan kami engkar”.

Kata-kata ini sebenarnya mahu menggambarkan bahawa Bani Israel hanya mendengar arahan yang diberikan kepada mereka tetapi tidak mematuhinya. 

Akibat keingkaran dan kedegilan, mereka telah terdorong untuk menjadi penyembah berhala.

**Sikap sambil lewa dalam memahami agama dan menghayatinya adalah sikap yang negatif.

Rabu
29 Shawal 1440
3 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *