*2.87.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 94-95*
Ayat 94-95
قُلْ إِن كَانَتْ لَكُمُ الدَّارُ الآخِرَةُ عِندَ اللَّهِ خَالِصَةً مِّن دُونِ النَّاسِ فَتَمَنَّوُاْ الْمَوْتَ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ.
وَلَن يَتَمَنَّوْهُ أَبَدًا بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيهِمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ
94-Katakanlah (wahai Muhammad kepada kaum Yahudi): “Kalau syurga negeri akhirat itu telah menjadi hak istimewa untuk kamu pada sisi hukum Allah, tidak boleh dicampuri oleh orang-orang lain (seperti yang kamu dakwakan itu), maka cita-citakanlah mati (supaya kamu dimatikan sekarang juga), jika betul kamu orang-orang yang benar”.
95-Dan sudah tentu mereka tidak akan mencita-citakan mati itu selama-lamanya, dengan sebab dosa-dosa yang telah mereka lakukan; dan Allah sentiasa mengetahui akan orang-orang yang zalim itu.

Mengikut Ibnu Asyur ayat ini merupakan mesej dari tuhan bagi menolak kepercayaan Bani Israel bahawa mereka berhak untuk tidak berada dalam syariat nabi Muhammad.

Mereka mendakwa mereka adalah pengikut kepada nabi-nabi dari kalangan Bani Israel kerana mereka adalah pencinta kitab Taurat, maka mereka berhak mendapat kasih sayang dari tuhan.

Ayat sebelum ini telah membuktikan kepalsuan iman Bani Israel kepada risalah yang dibawa oleh nabi- nabi mereak sendiri, maka kini datang pula ayat dalam bentuk mencabar Bani Israel agar membuktikan dakwaan iman mereka.

Ibnu Asyur menegaskan bahawa tidak terdapat sebarang berita menunjukkan orang-orang Yahudi menyahut cabaran al-Quran untuk menyatakan dengan terang-terangan cita-cita mereka mahu mati.

Walaupun di dalam hati mereka ada perasaan untuk membuktikan bahawa dakwaan al-Quran adalah salah, jika mereka berani maka inilah masa yang sesuai bagi mereka untuk bertindak, hanya menyatakan bahawa mereka berani untuk mati.

Sepatutnya boleh sahaja menyatakan keberanian mereka itu, jika mereka yakin berada dipihak yang benar. Namun demikian sehingga kini bangsa Yahudi tidak berani untuk berbuat demikian.

Al-Quran menegaskan bahawa mereka tidak akan berani untuk bercita-cita untuk mati selama-lamanya. al-Quran menggunakan perkataan “lan” yang membawa makna mereka tidak akan berani selama-lamanya.

Bagi Ibnu Asyur ayat ini sekaligus menjadi bukti kenabian nabi Muhammad saw dan menjadi bukti bahawa al-Quran adalah kalam Allah yang maha mengetahui samada yang lepas atau perkara yang akan berlaku. Walaupun telah berlalu 14 kurun diatas cabaran itu tetapi Bani Israel masih tidak berani untuk mencabarnya.

**Bani Israel hanya lantang mendakwa mereka berada di pihak yang benar tetapi gagal memberikan bukti. Seorang muslim diajar untuk menganalisis bukti apabila ada pihak yang mendakwa sesuatu perkara.

Khamis
1 Zulqa’idah 1440
4 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *