*TADABBUR WAHYU SIRI 249*

*2.88.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 96*
وَلَتَجِدَنَّهُمْ أَحْرَصَ النَّاسِ عَلَى حَيَاةٍ وَمِنَ الَّذِينَ أَشْرَكُواْ يَوَدُّ أَحَدُهُمْ لَوْ يُعَمَّرُ أَلْفَ سَنَةٍ وَمَا هُوَ بِمُزَحْزِحِهِ مِنَ الْعَذَابِ أَن يُعَمَّرَ وَاللَّهُ بَصِيرٌ بِمَا يَعْمَلُونَ
Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati mereka itu setamak-tamak manusia kepada hidup (yang lanjut masanya), dan (lobanya mereka kepada hidup itu) melebihi loba orang-orang kafir musyrik. Tiap-tiap seorang dari mereka suka kiranya ia boleh hidup seribu tahun, padahal umur panjang yang demikian, tidak akan dapat melepaskannya dari azab (yang disediakan oleh Allah). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang mereka lakukan.

Allah menyifatkan bahawa Bani Israel yang menolak dakwah nabi tidak akan berani bercita-cita untuk mati kerana kecintaan mereka kepada kehidupan dunia.

Keadaan mereka yang cintakan dunia disifatkan dengan perkataan “ahrasa” yang bermaksud orang yang paling mahu dan menjaga.
Sifat ini mengikut Ibnu Asyur adalah bagi menunjukkan bahawa keadaan Bani Israel yang mengaku mendapat syurga dan tempat yang istimewa daripada Allah, tiba-tiba menunjukkan kecintaan kepada dunia lebih dari orang-orang musrikin yang tidak sangat memahami hakikat syurga dan neraka.

Sepatutnya jika mereka benar-benar faham dengan hakikat akhirat dan telah mendapat janji untuk mewarisi syurga Allah maka kecintaan terhadap dunia akan menjadi kecl, ini kerana kebahagiaan di akhirat adalah lebih kekal, sebenar dan abadi.

Mereka disifatkan mahu hidup 1000 tahun dan sanggup mengharungi segala cabaran dan kepayahan dalam kehidupan dunia. Dalam makna lain mereka sebenarnya ingin hidup selama-lamanya, tapi dijawab oleh Allah bahawa kehidupan yang lama di dunia tidak akan mampu untuk melepaskan mereka dari azab Allah di hari akhirat nanti.

**Sifat terlalu mementingkan kehidupan dunia adalah sifat yang tercela dan ramai manusia terpengaruh dengannya sedangkan kehidupan yang hakiki adalah kehidupan di akhirat. Maka seorang muslim sepatutnya menjadikan tenaga, masa, harta dan kehiupan yang di anugerahkan kepada-Nya sebagai alat untuk persediaan di akhirat.

Jumaat
2 Zulqa’idah 1440
5 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *