*TADABBUR WAHYU SIRI 250*

*2.89.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 97*

قُلْ مَن كَانَ عَدُوًّا لِّجِبْرِيلَ فَإِنَّهُ نَزَّلَهُ عَلَى قَلْبِكَ بِإِذْنِ اللَّهِ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ وَهُدًى وَبُشْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesiapa memusuhi Jibril maka sebabnya ialah kerana Jibril itu menurunkan Al-Quran ke dalam hatimu dengan izin Allah, yang mengesahkan kebenaran Kitab-kitab yang ada di hadapannya, serta menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira kepada orang-orang yang beriman”.

Mengapakah surah al-Baqarah tiba-tiba menceritakan tentang Jibrail, sedangkan perbincangan sebelum ini tidak menyebut tentang pertembungan sesiapa dengan Jibrail.

Mengikut Ibnu Asyur perbincangan ini adalah lanjutan daripada hujah al-Quran menolak dakwaan Bani Israel yang cuba membenarkan tindakan mereka untuk menolak kenabian nabi Muhammad saw.

Seperti yang telah dibincangkan sebelum ini, mereka mendakwa kononnya Bani Israel hanya mengikut nabi-nabi dari Bani Israel sahaja. Telah dijelaskan, bahawa mereka membunuh nabi-nabi mereka sendiri yang membuktikan bahawa mereka tidak beriman dengan nabi-nabi itu.

Mereka mendakwa bahawa mereka berpegang dengan ajaran nabi mereka sahaja kerana mahukan kebahagiaan di akhirat, telah dijawab dengan cabaran untuk mati. Telah dibuktikan bahawa mereka sangat cinta kepada kehidupan dunia, bagaimana pula mereka mendakwa cintakan akhirat.

Bani Israel mendakwa bahawa desakan dan tuntutan iman telah membuatkan mereka menolak ajaran dan dakwah nabi Muhammad saw. Telah didedahkan bahawa tindakan mereka bukannya atas tuntutan iman dan ketaatan kepada agama tetapi kerana perasaan dengki yang ada di dalam diri mereka terhadap bangsa Arab yang telah dilantik menjadi nabi umat manusia di akhir zaman.

Keimanan Bani Israel tertolak sekali lagi apabila mereka memusuhi Rasulullah  dari kalangan malaikat. Mereka percaya Jibrail adalah ketua kepada malaikat, tetapi Bani Israel tetap membenci Jibrail yang mulia itu.

Menurut Ibnu Asyur, masyarakat Yahudi membenci Jibrail kerana Jibrail membawa wahyu kepada nabi Muhammad saw.

Namun demikian, Ibnu Asyur meriwayatkan sebuah hadis dari Bukhari yang menceritakan bahawa orang-orang Yahudi membenci malaikat Jibrail sebelum kedatangan nabi Muhammad saw ke Madinah lagi.

Apabila Rasulullah saw sampai di Madinah, Abdullah bin Salam telah datang menemui Baginda dan bertanya kepada baginda tiga soalan.

Ketika itu Abdullah bin Salam masih belum memeluk Islam dan beliau masih lagi menjadi pendita Yahudi. Soalan pertama beliau ialah apakah tanda pertama kiamat, soalan kedua, apakah makanan pertama ahli syurga, dan soalan ketiga ialah apakah faktor seseorang itu menyerupai ayahnya.

Ketika nabi menjawab bahawa Jibrail telah memberitahu Baginda sebentar tadi, Abdullah bin Salam menyampuk dengan katanya : Dia adalah malaikat yang dibenci oleh Bani Israel kerana dia datang membawa tanggungjawab yang yang  mesti dilakukan dan dia mengajak kepada jihad.

**Sifat membenci kebenaran hanya kerana ianya bertentangan dengan kehendak nafsu  adalah sifat yang buruk.

Sabtu
3 Zulqa’idah 1440
6 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *