2.90.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 98-99
مَن كَانَ عَدُوًّا لِّلَّهِ وَمَلائِكَتِهِ وَرُسُلِهِ وَجِبْرِيلَ وَمِيكَالَ فَإِنَّ اللَّهَ عَدُوٌّ لِّلْكَافِرِينَ.
وَلَقَدْ أَنزَلْنَا إِلَيْكَ آيَاتٍ بَيِّنَاتٍ وَمَا يَكْفُرُ بِهَا إِلاَّ الْفَاسِقُونَ.

Maksudnya:
Sesiapa memusuhi Allah, memusuhi Malaikat-malaikatNya dan Rasul-rasulNya, memusuhi Jirail dan Mikail sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang-orang kafir.

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik.

Daripada perbincangan ayat lepas apa yang dapat difahami secara zahir ialah Bani Israel hanya memusuhi malaikat Jibrail. Ini kerana hubungan malaikat yang mulia itu dengan nabi Muhammad saw.

Namun demikian dalam ayat ini, Allah memasukkan juga amaran kepada orang yang memusuhi malaikat Mikail. Ibnu Asyur berpandangan bahawa nama Mikail disebut di sini bagi menerangkan bahawa sesiapa yang memusuhi utusan Allah maka mereka sebenarnya bermusuhan dengan semua yang berkaitan dengan risalah yang diturunkan.

**Dalam rangkap terakhir ayat ini menerangkan bahawa sesiapa yang memusuhi rasul dan malaikat, maka Allah memusuhi mereka.

Kata-kata ini telah mendedahkan identiti sebenar Bani Israel. Mereka mengaku kaum yang suci dan disayangi oleh Allah tetapi mereka memerangi utusan Allah. Keadaan ini sangat pelik.

Jika diperhatikan secara teliti dapat difahami bahawa dakwaan Bani Israel bahawa mereka beriman itu hanyalah sebagai tipu daya sahaja. Siapakah yang mereka mahu pedayakan?? Orang yang melakukan penipuan dan pengubahan fakta dari kalangan Bani Israel adalah kumpulan ulama, mereka mencari pengaruh dari kalangan orang awam.

Mereka menabur janji manis bahawa dosa mereka terampun dan Bani Israel seluruhnya akan menghuni syurga Allah. Dengan janji-janji itu, masyarakat awam Bani Israel telah meletakkan kepercayaan kepada ulama mereka dan inilah objektif yang dikehendaki oleh orang yang mengambil peluang dari kejahilan orang lain.

Pada hakikatnya mereka bukan memusuhi Rasullah dan Jibrail sahaja, sebaliknya pada hakikatnya mereka benci kepada Allah, tetapi kebencian itu tidak dapat dinyatakan di depan masyarakat. Hakikat sebenar diri mereka terpaksa di sembunyikan dari pengetahuan masyarakat demi menjaga kedudukan dan pengaruh di mata masyarakat kebanyakan.

Ayat ini dengan itu mendedahkan hakikat sebenar bahawa mereka memusuhi Allah!

Ahad
4 Zulqa’idah 1440
7 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *