*2.91.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 100-101*
أَوَكُلَّمَا عَاهَدُواْ عَهْدًا نَّبَذَهُ فَرِيقٌ مِّنْهُم بَلْ أَكْثَرُهُمْ لاَ يُؤْمِنُونَ.
وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِّنْ عِندِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِّمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِّنَ الَّذِينَ أُوتُواْ الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاء ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لاَ يَعْلَمُونَ.
100-Dan patutkah tiap-tiap kali mereka mengikat perjanjian setia, dibuang dan dicabuli oleh segolongan dari mereka? Bahkan kebanyakan mereka tidak beriman.
101- Dan apabila datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah (Nabi Muhammad s.a.w), yang mengesahkan apa yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang telah diberikan Kitab itu melemparkan Kitab Allah ke belakang mereka, seolah-olah mereka tidak mengetahui.

Perubahan ayat daripada menggunakan seruan kepada Bani Israel bertukar kepada seruan terhadap Nabi Muhammad saw merupakan salah satu daripada teknik untuk menunjukkan bahawa Allah memberi perhatian terhadap Baginda dan apa yang ditempuhi.

Seterusnya Allah memberi isyarat bahawa penentangan yang dihadapi oleh baginda adalah disebabkan oleh sifat mereka yang sememangnya buruk. Perkataan yang digunakan bagi menggambarkan buruknya perangai Bani Israel dalam ayat ini ialah perkataan “fasik” di mana di dalam bahasa Arab perkataan ini digunakan bagi menunjukkan kepada buah kurma yang busuk.

Walaupun begitu perlu diingat juga bahawa istilah fasik di dalam al-Quran adalah tidak sama dengan penggunaan istilah “fasiq” di dalam kitab-kitab fekah serta ilmu hadis.

Para penuntut ilmu perlu mengambil perhatian tentang perbezaan ini agar tidak timbul kekeliruan dalam meletakkan hukuman. Ini kerana sifat fasiq di dalam al-Quran ditujukan kepada orang-orang yang terkeluar dari ajaran Islam dan tidak demikian dalam istilah ahli fikah dan ahli hadis.

Salah satu perkara yang menarik dalam ayat diatas ialah bagaimana Allah menyebut tentang reaksi Bani Israel terhadap kitab Allah. Pada mulanya Allah menyatakan segolongan daripada mereka menolak kitab Allah akan tetapi  selepas itu diikuti dengan kenyataan kebanyakan mereka menolak.

Samada “segolongan” atau “kebanyakan”, istilah yang digunakan masih tidak menunjukkan kepada “kesemua”. Ini merupakan satu pendidikan penting, kerana menghukum sesuatu kelompak terhadap satu perlakuan buruk secara pukal adalah tidak tepat dan hanya akan mengundang kemarahan pihak yang mendengarnya.

Jika dikatakan “semua Bani Israel jahat, kufur dan sebagainya akan membuatkan terbinanya halangan dalam komunikasi.

Dengan itu Allah mengajar orang beriman agar tidak menghukum secara umum tetapi menggunakan istilah yang sesuai dalam berkomunikasi, walaupun ketika Allah sedang menunjukkan kemurkanNya kepada Bani Israel.

**Kualiti komunikasi yang baik akan membuatkan sesuatu mesej itu lebih mudah diterima.

Isnin
5 Zulqa’idah 1440
8 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *