*TADABBUR WAHYU SIRI 253*

*2.92.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 102 *
وَٱتَّبَعُواْ مَا تَتۡلُواْ ٱلشَّيَٰطِينُ عَلَىٰ مُلۡكِ سُلَيۡمَٰنَۖ وَمَا كَفَرَ سُلَيۡمَٰنُ وَلَٰكِنَّ ٱلشَّيَٰطِينَ كَفَرُواْ يُعَلِّمُونَ ٱلنَّاسَ ٱلسِّحۡرَ وَمَآ أُنزِلَ عَلَى ٱلۡمَلَكَيۡنِ بِبَابِلَ هَٰرُوتَ وَمَٰرُوتَۚ وَمَا يُعَلِّمَانِ مِنۡ أَحَدٍ حَتَّىٰ يَقُولَآ إِنَّمَا نَحۡنُ فِتۡنَةٞ فَلَا تَكۡفُرۡۖ فَيَتَعَلَّمُونَ مِنۡهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِۦ بَيۡنَ ٱلۡمَرۡءِ وَزَوۡجِهِۦۚ وَمَا هُم بِضَآرِّينَ بِهِۦ مِنۡ أَحَدٍ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ وَيَتَعَلَّمُونَ مَا يَضُرُّهُمۡ وَلَا يَنفَعُهُمۡۚ وَلَقَدۡ عَلِمُواْ لَمَنِ ٱشۡتَرَىٰهُ مَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖۚ وَلَبِئۡسَ مَا شَرَوۡاْ بِهِۦٓ أَنفُسَهُمۡۚ لَوۡ كَانُواْ يَعۡلَمُونَ

201-Dan mereka mengikut sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam pemerintahan Nabi Sulaiman, sesungguhnya Nabi Sulaiman tidak kufur, akan tetapi Syaitan-syaitan itulah yang kufur, kerana merekalah yang mengajarkan manusia sihir dan apa yang diturunkan kepada Harut dan Marut, di negeri Babil, mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah fitnah (ujian), oleh itu janganlah engkau menjadi kafir. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua sesuatu yang boleh memisahkan antara seorang dengan pasangannya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat kepada seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Ibnu Asyur mengaitkan sebab turunnya ayat ini dengan sebuah riwayat daripada Abu Ishaq yang menceritakan bahawa apabila orang-orang Yahudi mendengar Rasulullah saw  menceritakan tentang nabi Sulaiman, mereka berkata: Dia bukan nabi, tetapi dia adalah seorang ahli sihir.

Berikutan dengan kata-kata mereka itu maka turunnya ayat ini.
Bagi Ibnu Asyur, ayat ini merupakan sambungan daripada perbincangan yang lepas iaitu mereka membelakangi kitab Allah, samada kitab Allah yang dimaksudkan adalah al-Quran atau kitab Taurat, maka kedua-duanya ditingggalkan oleh Bani Israel.

Ini kerana mereka meninggalkan maklumat yang benar dari kitab mereka sendiri dan mereka mencari maklumat dari sumber lain yang bertentangan dengan kebenaran. Apabila datang kitab al-Quran, mereka bukan sahaja membelakangi al-Quran tetapi juga mengabaikan berita-berita berkaitan kedatangan rasul akhir zaman yang telah sedia ada di dalam kitab Taurat.

Ayat ini menerangkan bahawa tindakan Bani Israel yang menolak dari mempercayai nabi saw itu tidak pelik kerana mereka juga telah mempercayai berita buruk tentang nabi Sulaiman sebelum ini. Jika nabi dari bangsa mereka sendiri pun mereka fitnah dan tolak maka apa yang Bani Israel lakukan terhadap dakwah nabi Muhammad saw itu tidak sukar untuk difahami.

Selasa
6 Zulqa’idah 1440
9 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *