*2.92.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 102 *

Mereka (membelakangkan Kitab Allah) dan mengikut sihir yang dibacakan oleh puak-puak Syaitan dalam pemerintahan Nabi Sulaiman, Nabi Sulaiman tidak kufur, akan tetapi puak-puak Syaitan itulah yang kafir; kerana merekalah yang mengajarkan manusia sihir.

Ibnu Asyur menerangkan bahawa tafsiran yang msyhur bagi ayat ini ialah Bani Israel telah mengikut apa yang dibacakan oleh syaitan dalam zaman kerajaan nabi Sulaiman.

Namun demikian beliau secara beransur-ansur menerangkan bahawa ada lagi tafsiran lain bagi ayat ini. Ini kerana makna “syaitan” dalam bahasa arab bukan sahaja pada maknanya yang zahir tetapi boleh sahaja ditafsirkan sebagai manusia yang jahat dan melakukan keburukan.

Ibnu Asyur menyokong tafsiran beliau ini dengan ayat al-Quran lain yang bermaksud: Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi itu musuh dari Syaitan-syaitan manusia dan jin. (Surah al-An’am:112)

Selain daripada ayat di atas, pemberitahuan bahawa syaitan itu mengajarkan kepada manusia juga merupakan satu isyarat bahawa syaitan yang dimaksudkan adalah manusia yang jahat dan suka menimbulkan kekeliruan.

Hujah ketiga Ibnu Asyur ialah Allah meberitahu bahawa nabi Sulaiman tidak kufur tetapi syaitanlah yang kufur. Pemberitahuan ini menurut beliau menunjukkan bahawa syaitan yang dimaksudkan ialah manusia yang jahat dan menyesatkan orang lain kerana kekufuran syaitan dari kalangan jin sudah sedia diketahui.

Menurut Ibnu Asyur ayat ini menceritakan bagaimana setelah kematian nabi Sulaiman, kerajaan yang luas dan gagah yang ditinggalkan oleh baginda telah terpecah kepada dua negara akibat persengketaan sesame Bani Israel. Peristiwa ini menutrut ibnu Asyur telah berlaku 975 tahun sebelum masihi.

Kerajaan itu dinamakan kerajaan Yahuza dan kerajaan Israel. Sebab persengketaan antara dua kuasa, satu kuasa mahu mengekalkan ajaran nabi Sulaiman dan satu pihak lagi enggan meneruskan amalan berdasarkan syariat Islam yang ditinggalkan oleh baginda.

Kerajaan yang mahu meneruskan ajaran nabi Sulaiman itu dipimpin oleh Yarbaun anak kepada nabi Sulaiman. Bagi menjatuh pengaruh mereka pihak lawan yang mahu merampas kuasa dan menumpaskan pengaruh anak nabi Sulaiman terpaksa mencipta cerita-cerita karut yang menyebabkan rakyat membenci anak nabi Sulaiman.

Untuk mencapai cita-cita mereka cerita-cerita yang memburukkan nabi Sulaiman telah direka, dan inilah resam dalam pergolakan politik yang rakus sehingga sanggup memfitnah, meminda kebenaran fakta dan menuduh pihak yang tidak bersalah demi mencari pengaruh.

Nabi Sulaiman dituduh sebagai raja yang memerintah dengan mengamalkan sihir sehingga baginda menjadi nabi yang berkuasa terhadap sekelian makhluk. Mereka juga menuduh nabi Sulaiman meninggalkan ajaran sihir dan selepas itu lahirlah tuduhan-tuduhan lain yang sangat jelek dari Bani Israel kepada nabi Sulaiman dan ayahnya nabi Daud.

**Kerana kuasa manusia sanggup menggunakan apa sahaja cara, orang yang beriman adalah orang yang mampu mengawal nafsunya agar tidak terjerumus kedalam kerja-kerja jahat seperti yang disebutkan.

Rabu
7 Zulqa’idah 1440
10 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *