*2.93.3 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 102 *

Mereka mengajarkan manusia sihir dan apa yang diturunkan kepada Harut dan Marut, di negeri Babil, sedang mereka berdua tidak mengajar seseorang pun melainkan setelah mereka menasihatinya dengan berkata: “Sesungguhnya kami ini hanyalah ujian, oleh itu janganlah engkau menjadi kafir. Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua sesuatu yang boleh memisahkan antara seorang dengan pasangannya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat kepada seseorang pun melainkan dengan izin Allah.

Ibnu Asyur meriwayatkan beberapa pandangan ulama dalam mentafsirkan ayat ini. Sebahagiannya mentafsirkan dengan makna zahir iaitu Allah menghantar dua orang malaikat yang bernama Harut dan Marut untuk mengajarkan sihir kepada Bani Israel dengan amaran bahawa mereka adalah ujian Allah kepada Bani Israel kerana sihir akan menyesatkan mereka.

Sebahagian ulama pula mentakwilkan makna malaikat yang disebut dalam ayat diatas dengan makna lain bukannya bermaksud malaikat seperti yang biasa difahami. Ini kerana malaikat tidak dihantarkan secara langsung kepada manusia. Sebaliknya Allah menghantar manusia sebagai utusan Allah.

Dengan itu mereka mentafsirkan perkataan malaikat dalam ayat diatas sebagai dua orang lelaki soleh. Ini kerana orang baik sering disebut didalam Bahasa Arab dengan gambaran malaikat. Oleh itu maksudnya Allah menghantarkan dua orang soleh untuk mengajarkan kepada Bani Israel ilmu sihir.

Persoalan yang timbul ialah mengapa Allah menghantar kepada Bani Israel orang yang mengajarkan kepada mereka ilmu sihir sedangkan sihir itu sesuatu yang salah. Andaian yang diberikan ialah Bani Israel memang mengamalkan sihir, para pengamal sihir mengaku mereka memiliki kuasa ghaib dan mereka mempunyai kesaktian dan boleh berhubung dengan tuhan.

Oleh itu Allah menghantar dua orang lelaki soleh ini untuk menolak kepercayaan yang mengagungkan ahli sihir, seterusnya membuatkan masyarakat Bani Israel merasakan bahawa setiap orang boleh mempelajarinya dan tiada apa yang istimewa pada ahli sihir.

Ibnu Asyur menukilkan daripada Fakhrul Razi daripada Abu Muslim pandangan yang mengatakan dua orang malaikat yang disebut bukan mengajarkan kepada manusia ilmu sihir seperti yang disangkan kerana malaikat tidak mengajarkan kepada manusia kesesatan dan mustahil Allah mengutuskan malaikat untuk mengajarkan kepada manusia sesuatu yang sesat.

Menurut beliau dua orang yagn disifatkan sebagai malaikat itu mendedahkan kebenaran tentang nabi Sulaiman dan mengajarkan kepada Bani Israel hakikat cerita karut yagn diajarkan oleh para syaitan kepada mereka. Tafsiran ini nampaknya lebih sesuai dengan perbincangan surah al-Baqarah tetapi ia tidak masyhur.

Khamis
8 Zulqa’idah 1440
11 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *