*2.93.4 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 102 *
Lalu (Bani Israel) mempelajari dari mereka berdua sesuatu yang boleh memisahkan antara seorang dengan pasangannya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat kepada seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka. Dan demi sesungguhnya mereka telahpun mengetahui bahawa sesiapa yang memilih ilmu sihir itu tidaklah lagi mendapat bahagian yang baik di akhirat. Demi sesungguhnya amat buruknya apa yang mereka pilih untuk diri mereka, kalaulah mereka mengetahui.

Sewaktu Ibnu Asyur mentafsirkan ayat ini, beliau mengingatkan bahawa banyak cerita-cerita mistik dan tidak benar telah diriwayatkan oleh para penulis bagi menceritakan keadaan Harut dan Marut.  Keadaan ini turut berlaku kepada ramai penulis tafsir.

Hal ini menyebabkan tafsiran mereka telah dicemari dengan cerita-cerita dari khurafat Bani Israel yang tidak berasas. Ibnu Asyur menyebut bahawa beliau dapat mengesan bahawa Imam Ahmad yang terkenal dengan kehebatannya dalam ilmu hadis juga tersalah meriwayatkan cerita tentang Harut dan Marut sedangkan riwayat itu pada pandangan beliau tidak benar. Namun demikian perbincangan pada tahap ini eloklah dirujuk kepada pengajian yang lebih khusus dan mendalam kerana banyak perincian yang perlu digarap dalam masalah ini.

Samada sihir disini bermaksud amalan sihir seperti yang difahami oleh kebanyaan pentafsir atau sihir disini adalah cerita-cerita karut tentang nabi Sulaiman dan nabi Daud yang dicipta untuk mempengaruhi Bani Israel, maka kedua-dua tafsiran ini membawa kepada natijah yang sama iaitu perpecahan dan persengketaan dalam masyarakat Bani Israel yang sebelum ini bersatu dibawah kepimpinan nabi Sulaiman.

Mereka cuba sedaya upaya untuk membawa perpecahan dan perbalahan dalam masyarakat tetapi Allah meletakkan asas keimanan yang perlu diingat oleh manusia bahawa apa yang berlaku itu adalah dengan izin Allah bukannya dari kuasa manusia. Oleh itu hendaklah manusia berhati-hati.

Mengikut Syeikh Rasyed Redha dalam tafsir al-Manar, tindakan al-Quran yang tidak memperincikan keadaan ini sebenarnya menjadi tanda mukjizat al-Quran.

Ini kerana kefahaman terhadap peristiwa sihir itu tadi juga adalah kabur dan diserahkan kepada kajian yang bersifat kemanusiaan. Menurut belliau telah menjadi adat Al-Quran untuk tidak menditilkan perkara yang boleh dikaji dan diperincikan oleh manusia.

**Sifat suka membawa perpecahan dalam masyarakat adalah sifat yang keji.

Jumaat
9 Zulqa’idah 1440
12 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ๐ŸŒŸ

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *