*2.100.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 109*

Ramai di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Rangkapkedua ayat ini mungkin mengandungi sedikit kejutan kepada orang beriman, ini kerana keinginan agar umat islam kufur adalah satu kemahuan yang sangat jahat disisi Islam.

Pada dasarnya kemahuan seperti ini mungkin digambarkan akan dibalas dengan kekerasan dan kemarahan yang penuh dengan amaran keras. Namun demikian perkara sebaliknya telah diajarkan oleh Allah kepada umat islam. “fa’fu” itulah yang diajar kepada kaum muslimin, iaitu maafkan mereka. Perkataan “afu” bermaksud tinggalkan hukuman keatas mereka. Sementara “isfahu” adalah arahan untuk menghubungkan persaudaraan dengan mereka. Perkataan “safh” mengikut Ibnu Asyur bermaksud bertemu atau bersemuka. Ini kerana seseorang yagn marah terhadap orang lain akan mengelak dari bertemu dengan orang tersebut.

Menurut beliau lagi, suruhan untuk bersemuka disini adalah kiasan kepada suruhan untuk memaafkan mereka yang dimaksudkan tadi, perkataan “safh” memberi makna lebih tegas agar kaum muslimin memaafkan orang yang telah disebut dalam ayat di atas.

Setelah menyuruh umat Islam memaafkan kesalahan orang-orang Yahudi, kaum muslimin diajar dengan kelebihan memaafkan dengan rangkap “sesungguhnya Allah maha berkuasa diatas setiap perkara.

Ini mengingatkan bahawa Allahlah  yang Maha Berkuasa untuk memaafkan manusia atau menghukum mereka. Ibnu Asyur membawa satu hadis yang didakwanya sebagai sahih menerangkan bahawa tidak ada siapapun yang lebih bersabar terhadap keburukan yang didengarinya terhadap dirinya selain Allah. Ada manusia mendakwa bahawa bersama Allah itu ada tuhan yang lain namun demikian Allah tetap memberi rezeki kepada mereka.

**Ayat ini patut dijadikan sebagai panduan ketika mana umat islam berdepan dengan usaha memburukkan Islam, supaya tindakan umat Islam tidak dipandu oleh emosi semata-mata tetapi bertindak berdasarkan lunas-lunas yang betul dan memberikan kebaikan kepada masyarakat Islam seluruhnya.

Sabtu
17 Zulqa’idah 1440
20 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *