*2.101.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 110*
وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
110-Dan dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan apa jua yang kamu berikan dari kebaikan adalah untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Melihat segala yang kamu kerjakan.

Ibnu Asyur sudah pastinya  menanggapi perubahan ayat yang berlaku dengan sangat ketara antara ayat ini berbanding dengan ayat sebelum.

Ayat 109 membincangkan tentang ada orang yang inginkan umat Islam meningggalkan agama Allah ini dan kufur terhadap ajarannya, ayat itu juga menggesa umat Islam memaafkan mereka dan berbaik-baik dengan orang-orang tersebut.

Pada zahir ayat 110 ini, kelihatan berlaku perubahan topik perbincangan kepada topik ibadat dan amalan, kerana ayat ini menggesa umat Islam agar mendirikan solat dan mengeluarkan zakat.

Walaupun begitu Ibnu Asyur tidak berpandangan demikian, beliau menjelaskan bahawa suruhan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat adalah kiasan kepada seruan Allah agar umat Islam tetap teguh dengan agama Islam dan tidak terpengaruh dengan keinginan mereka yang dengki dengan kaum muslimin.

Tafsiran ini disimpulkan demikian kerana solat dan zakat adalah dua asas Islam yang menjadi tunjang kuat agama Allah ini. Solat merupakan tunjang kekuatan rohani dan pendidikan sepanjang masa yang mendidik manusia untuk menjadi hamba Allah yang teguh berpegang dengan agama Allah.

Selain itu solat juga mengandungi pendidikan disiplin, kebersihan, persaudaraan dan berbagai objektif samada bersifat individu atau masyarakat.

Sementara zakat pula adalah ibadat harta yang bertujuan membersihkan jiwa dari kecintaan terhadap dunia, menjana dana bagi membiayai segala aktiviti kemasyarakatan samada memerangi kemiskinan, dakwah dan menjaga keselamatan masyarakat dan negara.

Jelas sekali Allah memberikan panduan yang sangat berguna dengan memandu kaum muslimin dalam menghadapai ancaman senyap pihak yang tidak mehukan kebaikan kepada umat Islam.

Umat Islam tidak perlu menunjukkan tindakan seolah-olah mereka yang membenci pihak lain, mengeluarkan kenyataan yang berupa ancaman dan mengeruhkan suasana.

Sebaliknya tuhan menyuruh umat Islam berbaik-baik walaupun dengan pihak yang membenci mereka. Namun demikian aktiviti yang tidak boleh diabaikan ialah tindakan mengukuhkan keimanan dan menyusun masyarakat supaya sentiasa kuat mendepani cabaran.

Ahad
18 Zulqa’idah 1440
21 Julai 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *