*2.120.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 121*

الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَتْلُونَهُ حَقَّ تِلَاوَتِهِ أُولَٰئِكَ يُؤْمِنُونَ بِهِ ۗ وَمَنْ يَكْفُرْ بِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Lanjutan daripada perbincangan lepas yang menerangkan bahawa ahli kitab tidak akan beriman dan petunjuk Allah satu-satunya jalan yang benar, kini diterangkan pula bagaimanakah perincian orang yang beriman.

Ini kerana semua pihak mengaku mereka berada di atas jalan yang benar, tetapi Allah menerangkan bahawa orang yang berada di atas jalan yang benar itu adalah orang melakukan tilawah terhadap kitab Allah. Bahkan mereka mentilawah kitab Allah dengan sebenar-benar tilawah.

Mengikut Ibnu Asyur, yang dimaksudkan  tilawah dengan benar-benar tilawah ialah orang yang membaca al-Quran dan memahami maksud sebenar yang mahu disampaikan oleh Allah.
Ayat ini dengan jelas memberikan penekanan betapa pentingnya kedudukan al-Quran dalam menentukan hala tuju umat manusia. Al-Quran adalah asas penting yang menjadi rujukan paling tinggi, di dalamnya terdapat perinsip-perinsip dan dasar ajaran Islam. Merekalah orang yang beriman dengan nabi Muhammad yang membawa risalah ini. Perkataan “merekalah orang yang beriman dengannya” juga boleh bermaksud beriman dengan al-Quran. Seperti yang pernah diingatkan bahawa tidak pelik jika ayat al-Quran mempunyai maksud yang banyak dalam satu rangkap. Keadaan ini menunjukkan kehebatan al-Quran.

Orang yang membaca al-Quran, cuba memahaminya dengan sebaik mungkin dan berusaha untuk beramal dengan apa yang terkandung di dalamnya maka sememangnya merekalah orang yang beriman dengan sebenarnya.

Roh ayat ini telah menjadikan para ulama Islam meletakkan al-Quran sebagai sumber tertinggi dalam pemikiran mereka, kemudian barulah diikuti dengan sunnah, sementara sumber daripada akal dan logik diletakkan pada tempat ketiga.

Antara kelemahan umat Islam masa kini ialah merasakan bahawa al-Quran hanyalah kita yang mesti di baca semata-mata. Ada yang menghabiskan masa puluhan tahun untuk belajar membaca al-Quran tetapi tidak pernah belajar untuk memahami kandungan kitab suci ini. Membaca al-Quran sememangnya mendapat pahala tetapi membaca dengan faham akan menjadikan seseorang itu mendapat pengajaran dan panduan.

Membaca al-Quran dengan sebenar-benarnya juga bermaksud mengamalkan tuntutan ayat yang dibaca. Di dalam kitab Majlis al-Quran Dr al-Ansari menyentuh berkaitan kepentingan membaca dengan sebenar-benar bacaan. Beliau meletakkan percubaan membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran sebagai kembali kepada sumber Islam yang asal dan murni.

Antara ulama yang mengkritik situasi sebahagian umat Islam yang mementingkan bacaan dan hafalan al-Quran tanpa  memahami dan menghayati kandungannya ialah Syeikh al-Ghazali. Kata-kata beliau amat menarik untuk dijadikan iktibar. ” Aku hairan dengan umat Islam, orang lain membaca untuk belajar, tetapi mereka belajar untuk membaca.

Sudah tentu apa yang dimaksudkan oleh Syeikh Al-Ghazali bukanlah menafikan kebaikan membaca dan menghafal al-Quran, tetapi beliau mahu menarik perhatian umat Islam kepada perlunya memahami dan menghayati al-Quran.

Khamis
29 Zulqa’idah 1440
1 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *