*TADABBUR WAHYU SIRI 277*

*2.121.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 122-123*
يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُواْ نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ. وَاتَّقُوا يَوْمًا لَا تَجْزِي نَفْسٌ عَنْ نَفْسٍ شَيْئًا وَلَا يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلَا تَنْفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ
122-Wahai Bani Israil, kenanglah akan limpah kurnia nikmatKu yang telah Kuberikan kepada kamu, dan Aku telah melebihkan (datuk nenek) kamu (yang taat dahulu) atas umat-umat yang lain (yang ada pada zamannya).
123- Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara).

Sekali lagi ayat yang menyeru kepada Bani Israel diulangkan dalam sural al-Baqarah ini, buat kali pertama ia disebut pada ayat 40, berulang sekali lagi pada ayat 47 dan 48, seruan kepada Bani Israel agar mengingati nikmat Allah dan hari akhirat. Dan kini seruan itu diulang sekali lagi sebagai penutup kepada perbincangan yang panjang.

Bermula dari ayat 40 sehinggalah ayat 123 ini terdapat perbincangan ketara berkenaan nikmat yang telah Allah berikan kepada Bani Israel iaitu dari ayat 49 hingga ayat 74.
Pada hakikatnya nikmat-nikmat yang telah diberikan kepada Bani Israel itu juga diberikan kepada umat-umat lain.

Perbincangan seterusnya bertumpu kepada penyelewengan yang telah berlaku dalam masyarakat Bani Israel. Penyelewengan yang berlaku ini, juga akan hadir dalam setiap masyarakat di sepanjang zaman. Ia adalah fenomena alam yang akan berterusan selagi manusia mendiami bumi ini. Fenomena ini adalah hukum alam yang tetap berterusan kejadiannya, apa yang membezakan manusia adalah wasilah dan peralatan yang berbeda mengikut peredaran zaman dan ilmu manusia, adapun hakikat kemanusiaan adalah sama dan tidak pernah berubah.

Berbagai penyelewengan yang berlaku telah dibahagikan kepada dua zaman yang berbeza. Pengalaman Bani Israel di zaman nabi-nabi terdahulu dan Bani Israel di zaman Rasulullah saw. Pergelutan antara Rasulullah saw yang membawa cahaya iman dan pengabdian dengan Bani Israel yang sentiasa mewakili kaum yang enggan untuk menyatakan keimanan dan ketundukannya kepada Allah.

Selepas perbincangan ini dapat diperhatikan dengan jelas bahawa topik penyelewengan Bani Israel tidak akan disebut lagi dalam surah ini secara bertubi-tubi, sebaliknya akan disebut secara terpisah-pisah ketika membincangkan isu-isu yang berbagai.

Adapun selepas perenggan ini, surah al-Baqarah akan berpindah daripada membincangkan sifat-sifat buruk Bani Israel, kepada membincangkan perihal hamba Allah yang beriman dan bertaqwa. Orang yang dipilih oleh Allah untuk menjadi contoh yang mulia ini ialah nabi Ibrahim. Dikuti dengan nabi Ismail, Ishaq, Ya’kub dan nabi-nabi yang lain.

Merekalah ikutan seluruh manusia dan merekalah  permata zaman yang terus bersinar menerangi alam. Mereka adalah orang-orang yang telah berjaya untuk mengenggam erat tujuan asal manusia diciptakan, iaitu untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Penceritaan  pengalaman mereka meninggalkan kebelakang pengalaman manusia yang telah gagal memikul amanah pengabdian, mereka yang telah mengisi ruang sejarah dengan keburukan dan penyelewengan. Semoga kita diberikan kekuatan untuk menghindarkan diri dari menjadi kaum yang telah gagal dalam pengabdian itu. Amin…amin ya Rabbal alamin.

Jumaat
1 Zulhijjah 1440
2 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Ulasan Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir Oleh Ibnu Asyur
Rujukan tambahan: Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk beli buku atau untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *