*2.122.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 124*

“Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

Rangkap kedua dalam ayat ini merupakan satu pengiktirafan Allah kepada kedudukan nabi Ibrahim, “aku melantik mu menjadi imam” bermaksud orang yang berada didepan, iaitu pemimpin, contoh tauladan dan ikutan buat manusia.

Tidak dapat dinafikan bahawa dalam kehidupan kemanusiaan, pangkat, pujian, kedudukan dan kemuliaan kemanusiaan adalah menjadi runtunan jiwa kemanusiaan. Allah tidak menafikan perkara ini terhadap seorang yang beriman, bahkan Allah menjadikan kedudukan yang mulia pada mata manusia itu adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang taat kepada-Nya.

Selain itu ayat ini juga mengajarkan kepada manusia bahawa kemuliaan seseorang datangnya dari usaha dan berkat pengorbanan yang telah dilakukan oleh dirinya sendiri. Kemuliaan di mata manusia kerana kedududkan, harta dan keturunan tidak mendapat penilaian di sisi Allah. Lantaran itu Allah berfirman maksudnya “sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu ialah orang yang paling bertaqwa”.

Dapat diperhatikan bagaimana nabi Ibrahim diberikan anugerah kemuliaan oleh Allah setelah dia membuktikan keimanan dan amalannya dalam kehidupan. Oleh itu hindarilah keinginan dan nafsu untuk mendapat kemuliaan hanya dengan cara-cara yang di sangka menjadi punca kemuliaan tanpa iman dana amal. Hal ini telah berlaku kepada Bani Israel yang menyangka bahawa kedudukan dan keturunan mereka itulah yang telah membuatkan mereka mulia di sisi Allah.

Rangkap ketiga ayat ini membawakan kata-kata nabi Ibrahim yang meminta agar Allah turut memberi kemuliaan kepada generasi akan datang yang akan mewarisi bumi ini.

Permintaan ini mengandungi pengajaran penting kerana secara tidak langsung menerangkan karakter nabi Ibrahim yang hebat, manusia contoh yang telah dipilih oleh Allah untuk menjadi contoh kepada manusia.

Karakter yang ditonjolkan disini ialah nabi Ibrahim berfikir tentang perkara yang di luar dari kerangka kepentingan dirinya. Pada hakikatnya selagimana manusia dapat meluaskan ruang atau kerangka pemikiran di luar dari kepentingan diri, maka semakin hebatlah seseorang itu.

Orang yang berfikir untuk kepentingan diri dan keluarga lebih baik dari orang yang berfikir untuk kepentingan dirinya sahaja, tetapi orang yang berfikir untuk kepentingan masyarakat sekitar adalah lebih baik dari keduanya.

Mereka yang berfikir untuk kepentingan diri, keluarga, bangsa, negara dan sejagat adalah manusia yang lebih hebat dan nabi Ibrahim disifatkan oleh Allah bersifat demikian.

Dia berfikir melangkawu kepentingan dirinya, apabila Allah menyatkan dia akan menjadi idola, ikutan dan pemimpin manusia, nabi Ibrahim memohon agar Allah menjadikan generasi mendatang dari keturunannya juga akan mendapat perkara yang sama.

Sifat ini akan nampak dengan ketara ditonjolkan oleh Allah sewaktu menceritakan tentang nabi Ibrahim dalam ayat-ayat yang akan datang yang akan diterangkan insyaallah.

Rangkap terakhir dalam ayat ini ialah jawapan Allah kepada permintaan nabi Ibrahim. “janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim”.
Ayat ini menunjukkan bahawa permintaan nabi Ibrahim agar zuriat Baginda menjadi pemimpin manusia diperkenankan oleh Allah tetapi dengan syarat, kepimpinan hanya akan diberikan kepada mereka yang tidak berlaku zalim.

Lawan daripada sifat zalim ialah adil. Apa yang menarik di sini ialah apabila al-Quran menggunakan perkataan “zalim” dan bukannya perkataan “kufur”. Dengan itu ayat ini mengisyaratkan kepada satu fenomena alam yang mana orang yang akan mendapat pengaruh, dijadikan ikutan dan menguasai dunia ini adalah orang yagn paling adil dikalangan manusia.

Dan inilah yang telah berlaku disepanjang sejarah dimana bangsa yang banyak menyumbang kepada kehidupan manusia dan menyelesaikan permasalahan mereka adalah bangsa yang akan menguasai dunia ini. Merekalah yang akan menjadi pemimpin, sementara yang zalim dalam erti kata yang luas, tidak akan dapat menguasai dunia ini walaupun mereka dari keturunan yang mulia.

Ahad
3 Zulhijjah 1440
4 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *