*2.123.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 125*

125-Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan Rumah Suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji) dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh Kamu Makam Ibrahim itu tempat sembahyang. Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): “Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud”.

Dalam ayat ini kaabah dipanggil dengan nama β€œrumah Allah” bagi menunjukkan kemuliaannya. Seperti bila Allah menisbahkan roh manusia sebagai “rohku” bagi menunjukkan kemuliaan roh. al-Quran juga menyifatkan kota Mekah sebagai tempat yang aman. Sekaligus mengisyaratkan kepada keamanan sebagai satu perkara penting yang perlu dititikberatkan oleh manusia kerana ia asas kesejahteraan manusia.

Ayat 125 ini jika dilihat bergandingan dengan ayat sebelum ini memberikan dimensi yang mungkin berbeza atau paling kurang terdapat nilai tambah yang ketara, berbanding dengan melihat ayat ini secara bersendirian.

Apa yang disebut di atas adalah pengajaran yang dapat difahami jika dilihat kepada ayat ini secara bersendirian. Namun demikian, disana terdapat nilai tambah yang penting, dapat dirumuskan apabila ayat ini dilihat secara bergandingan dengan ayat sebelumnya.

Bila ayat ini dilihat dalam kerangka perbincangan berkaitan nabi Ibrahim sebagai manusia contoh, sebagai insan yang telah berjaya mematuhi ajaran agama dan ujian Allah, ayat ini dilihat masih menyebut ganjaran Allah kepada nabi Ibrahim.

Menjadikan Kaabah dan kota Mekah sebagai tempat suci adalah sebahagian daripada penghormatan kepada nabi Ibrahim. Ini kerana setiap manusia gembira dengan kemuliaan dan penghormatan yang bersifat duniawi sebelum ianya bersifat ukhrawi.

Jika ayat 124 menceritakan kelebihan yang Allah berikan kepada nabi Ibrahim sebagai imam terhadap manusia, anak cucunya mendapat kemuliaan yang sama, kini tempat yang diasaskan oleh Baginda pula dipilih sebagai tanah suci sepanjang zaman.

Pemilihan kaabah sebagi tempat menyatukan umat manusia yang akan menyembah Allah dari segenap pelusuk dunia adalah satu kebanggan keduniaan dan satu pahala jariah yang besar ganjarannya disisi Allah.

Nabi Ibrahim telah dimudahkan oleh Allah untuk mendapat ganjaran yang besar ini, alangkah beruntungnya Baginda dengan kemuliaan dunia dan kemuliaan akhirat ini.

Dari sudut Maqasid Syariah, sebenarnya ayat ini mengisyaratkan kepada tujuan Allah menjadikan untuk umat manusia ini tempat ibadah suci yang satu, tujuannya adalah untuk menyatukan manusia sehingga seluruh pelusuk dunia menuju kearah yang sama. Penyatuan fizikal membawa penyatuan hati dan ia adalah asas kesejahteraan dan kerukunan hidup di dunia ini.

Selasa
5 Zulhijjah 1440
6 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *