*2.124.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 126*
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ قَالَ وَمَنْ كَفَرَ فَأُمَتِّعُهُ قَلِيلًا ثُمَّ أَضْطَرُّهُ إِلَىٰ عَذَابِ النَّارِ ۖ وَبِئْسَ الْمَصِيرُ
126-Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka”. Allah berfirman:” (Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali”.

Ayat ini seterusnya menerangkan tentang nikmat Allah kepada nabi Ibrahim, dimana dia, keturunannya dan negeri tempat tinggalnya telah dimuliakan oleh allah.

Ia merupakan satu anugerah yang tidak terhingga besarnya, sebagai penghargaan Allah kepada kesetiaan dan kejayaan ibrahyim dalam pengabdian kepada tuhan.

Ayat ini pada hikakatnya mengingatkan kepada orang-orang mushyrikin Mekah agar memahami bahawa merekalah sepatutnya menjadi orang yang pertama beriman kepada Allah, kerana mereka mendapat kemuliaan dan anugerah berada ditempat yang penuh nikmat itu hasil daripada pengorbanan nabi Ibrahim yang mentauhidkan Allah dan mentaatiNya.

Apabila ayat ini dilihat dari sudut penjelmaan karakter nabi Ibrahim, maka sekali lagi disifatkan bahawa nabi yang agung ini mempunyai pemikiran “ummatik” yang sentiasa melihat kepada kemaslahatan jangka panjang yang kolektif.

Nabi Ibrahim tidak hanya meminta kebaikan untuk diri baginda seorang diri sahaja. Sebagaimana baginda tidak meminta kepentingan yang bersifat tempelan yang bertujuan mahukan keseronokan sementara.

Baginda memohon dari Allah kesejahtaraan negara atau negeri Mekah itu. Kesejahtaraan negara atau negeri bermakna kesejahtaraan manusia yagn tingg dan mendiaminya.

Dalam masa yang sama al-Quran mahu mengajar manusia perkara penting yang perlu difikirkan apabila bercakap tentang kemakmuran. Perkara yang dimaksudkan itu ialah keamanan. Ia perlu diberikan keutamaan kerana ia adalah asas kerukunan. Nab ibrahim sebagai individu yang hebat melihat bahawa perkara ini perlu diberikan penekanan paling utama.

Selain itu isu yang sentiasa menjadi perkara asas dalam kehidupan dunia ialah persoalan rezeki. Asas rezeki yang terpenting adalah makanan. Manusia, walau bagaimanpun kuat iman dan pegangan agamanya akan berdepan dengan kelemahan jika sumber makanan dan kehidupannya terancam.

Pembinaan tamaddun bukan sahaja berdiri diatas asas kepercayaan dan keimanan tetapi “badihiyyat” atau asas kehidupan itu perlu diberikan perhatian.

Ditengah-tangah penjelmaan karekter nabi ibrahim yang hebat sebegini, al-Quran seolah-olah mahu memberitahu juga bahawa diatas segala kebijaksanaan itu adalah kebijaksanaan Allah yang mutlak.

Doa nabi Ibrahim meminta agar rezeki penduduk Mekah dibuka oleh Allah bagi mereka yang beriman kepada tuhan dan beriman  kepada hari akhirat.

Disini Allah secara halus menegur pendirian nabi Ibrahim dan seolah-olah mahu menunjukkan bahawa sejauh manapun sifat rahmat yang ada pada manusia maka Allahlah yang Maha Merahmati dan Mengasihi.

Yang demikian kerana nabi Ibrahim meminta rezeki untuk orang yang  beriman sahaja, namun tuhan menyatakan bahawa rezeki akan tetap Allah berikan kepada manusia tanpa mengira persoalan iman dan kufur.

Adapun orang yang kufur maka Allah berikan juga rezeki kepada mereka kerana balasan terhadap kekufuran itu akan Allah jatuhkan di akhirat nanti.

Sewaktu menerangkan perkara ini, Allah menyifatkan nikmat yang diberikan adalah sedikit, ini bukan bermakna oang-orang yang kufur  akan hidup dalam kemiskinan kerana mendapat rezeki yang terhad.

Maksud sebenar ialah Allah akan memberikan rezeki kepada mereka di dunia ini,  di sisi Allah kekayaan di dunia ini hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan kesenangan dan kejayaan di akhirat yang berkekalan.

Rabu
6 Zulhijjah 1440
7 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *