*2.125.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 127*
وَإِذْ يَرْفَعُ إِبْرَاهِيمُ الْقَوَاعِدَ مِنَ الْبَيْتِ وَإِسْمَاعِيلُ رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا ۖ إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
127-Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;

Kini salah satu lagi dari babak kehidupan nabi Ibrahim dipaparkan oleh al-Quran. Nabi Ibrahim adalah orang yang telah dinobatkan sebagi insan yang telah berjaya dalam mendepani ujian Allah, inilah kejayaan yang hakiki dalam hidup ini.

Kehidupan tokoh seperti ini perlu ditonjolkan kerana merekalah yang sepatutnya diangkat sebagi contoh dan ikutan buat manusia disepanjang zaman. Kehidupan insan seperti ini penuh dengan perjuangan, pengorbanan serta ketaatan.

Amat malang apabila umat Islam sendiri ramai yang tidak mengambil peduli tentang sejarah kehidupan tokoh agung seperti ini. Sebaliknya mereka lebih mengenali individu-individu yang tidak punya apa-apa jasa dan bakti.

Ketika mana nabi Ibrahim dan anak baginda nabi Ismail mendirikan kaabah, baginda berdoa “wahai tuhan kami, terimalah daripada kami.

Doa seperti ini memberikan sudut pandang yang berbagai kepada personaliti nabi Ibrahim. Doa ini sebenarnya memperlihatkan akhlak tinggi nabi Ibrahim di depan tuhan.

Ketika baginda mendirikan kaabah, baginda tidak tertipu dengan nafsu yang sering mendorong manusia untuk berbangga dengan khidmat yang dilakukan.

Sebaliknya nabi Ibrahim menzahirkan kebergantungan Baginda kepada Allah. Doa ini memberi mesej kepada manusia bahawa sehebat manapun amalan yang kamu lakukan, tetapi kamu memerlukan Allah untuk menerima amalan tersebut.

Dan Allah tidak menerima kecuali amalan yang dilakukan ikhlas kepadanya, dibuat dengan penuh  ketundukan dan kepatuhan kepadaNya.

Nabi Ibrahim bukan sahaja berjaya untuk memberikankan khidmat untuk agama tetapi dalam masa yang sama dapat mengawal diri dari terpedaya  dengan sifat ghurur yang sering menyerang orang yang beramal.

** Jika kamu berjasa, maka jasa itu untuk dirimu sendiri.

Khamis
7 Zulhijjah 1440
8 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *