*TADABBUR WAHYU SIRI 285*

*2.127.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 129*
رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ ۚ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
129-“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”. 

Bagi menunjukkan kemahuan baginda yang tinggi terhadap perkara yang diminta maka seruan kepada tuhan diiulang sekali lagi “rabbana” “wahai tuhan kami”.

Ayat ini sekaligus mengajak para mukminin untuk menjadi orang yang berfikir untuk umat dalam ruang lingkup masa yang luas dan dalam kerangka masyarakat yang besar. Bukan hanya kepentingan diri yang menjadi dambaan, bukan pula keseronokan dunia dan perhiasannya yang menjadi kesibukan.

Menurut Ibnu Asyur, perkataan dari doa nabi Ibrahim dan nabi Ismail ini menggunakan lafaz “wab’ath fihim rasulan. Yang bermaksud “bangkitkanlah dari kalangan mereka rasul”. Permintaan ini mengandungi objektif agar keturunannya dimuliakan oleh Allah dengan perutusan rasul.

Doa ini tidak meminta “bangkitkanlah untuk mereka seorang rasul” ini kerana nabi Ibrahim dan nabi Ismail meminta Allah membangkitkan rasul dari kalangan zuriat mereka tetapi tidak meminta rasul itu dihantarkan untuk zuriat mereka sahaja.

Dengan itu kerasulan yang disebut  dalam ayat ini merujuk kepada kerasulan nabi Muhammad saw. Kerana bagindalah nabi yang diutuskan untuk seleuruh umat. Dan bagindalah Rasul yang dibangkitkan dari keturunan nabi Ibrahim dan nabi Ismail.

Adapun rasul-rasul dari kalangan Bani israel maka mereka bukan dari keturunan nabi Ismail walaupun mereka keturunan nabi Ibrahim.

Sementara nabi Hud dan nabi Soleh walaupun dari bangsa Arab tetapi bukan dari keturunan nabi Ismail dan nabi Ibrahim kerana mereka adalah dari “arab ‘aribah”.

Permintaan nabi Ibrahim dan nabi Ismail agar keturunan mereka dimuliakan dengan kerasulan, sekaligus ayat ini memberi maklumat bahawa nabi-nabi dan para rasul diutuskan dari bangsa yang dimuliakan oleh Allah.

Seringkali kedengaran dalam masyarakat mengatakan bahawa Allah menghantar nabi dari kalangan orang Arab kerana kejahatan dan jahiliayah yang telah berlaku kepada mereka.

Jika dilihat dari ayat diatas, kefahaman seperti ini adalah tidak tepat. Ini kerana Allah membangkitkan rasul sebagai satu kemuliaan dan dari keturunan yang mulia. Jahiliyah yang berlaku kepada bangsa mereka semasa mereka diutusankan juga berlaku kepada bangsa-bangsa yang lain ketika mereka dibangkitkan itu.

Bahkan bangsa merekalah yang lebih mullia jika dibandingkan dengan bangsa yang lain yang hidup sezaman dengan mereka.

Mengambil sempena menyebut tentang kedatangan rasul maka al-Quran turut menyebut apakah tugas para rasul yang diutuskan kepada kaum mereka. Pelajaran ini sangat penting kerana setiap umat memuliakan nabi dan rasul mereka.

Namun kesilapan dalam memuliakan nabi dan rasul boleh membuatkan sesutu umat itu tergelincir dari landasan yang benar.

** Penerangan terhadap tugas-tugas rasul akan dibincangkan dalam siri yang akan datang insyaallah.

Sabtu
9 Zulhijjah 1440
10 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *