*2.127.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 129*
129-“Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab serta Hikmat kebijaksanaan dan membersihkan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

Mengambil sempena menyebut tentang kedatangan rasul maka Al-Quran turut menyebut apakah tugas  rasul yang diutuskan.

Pelajaran ini sangat penting kerana setiap umat memuliakan nabi dan rasul mereka. Namun kesilapan dalam memuliakan nabi dan rasul boleh membuatkan sesuatu umat itu tergelincir dari landasan yang benar.

Perkara ini telah berlaku kepada orang-orang Nasrani, mereka menganggap nabi Isa anak tuhan. Umat Islam dengan itu diajar tentang tugas seorang rasul dan apakah mesej mereka.

“membacakan kepada mereka ayat-ayat mu” inilah tugas rasul yang menjadi keutamaan penghantaran utusan allah kepada manusia.

Membacakan kepada manusia ayat-ayat Allah. Gaya bahasa begini telah membuatkan para ulama memahami maksud ayat ini dalam maknanya yang luas, ia bukan setakat bermaksud membacakan kepada manusia ayat Al-Quran, tetapi tugas nabi juga membawa bukti wujudnya Allah, membuktikan kekuasaan Allah dan kesempurnaan sifatnya serta menerangkan pensyariatan agama.

Tugas kedua rasul yang disebut disini ialah  “mengajarkan kepada mereka Al Kitab  dan Al-Hikmah”.

Ibnu asyyur berpandangan bahawa “membacakan ayat -ayat Allah” bermaksud  mengajarkan umat membac al-Quran. Ini kerana kefahaman bermula dengan membaca.

Pandangan Syeikh Rasyed Redha di dalam kitab Al-Manar adalah berbeza kerana beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan membacakan ayat-ayat Allah adalah menerangkan tauhid dan membuktikan kewujudan serta keesaan Allah.

Menurut beliau, maksud nabi “mengajarkan kitab” ialah nabi membawa mesej pembinaan tamaddun kepada umat Islam, dengan mengajarkan kepada mereka penulisan yang menjadi sebab kepada wujudnya kitab.

Mesej ini begitu perlu kerana dua tamaddun yang berada dikiri dan kanan masyarakat Arab  berupa tamadun Rom dan Parsi telah memiliki kemajuan daru sudut penulisan dan dokumentasi.

Dalam masa yang sama orang-orang Arab sangat jauh ketinggalan kebelakang. Disebabkan penekanan yang telah diberikan ini menyaksikan perubahan ketara dalam masyarakat Arab sebaik sahaja mereka memeluk Islam.

Bangsa Arab telah menjadi umat yang terjun kemedan ilmu dan itulah yang dimaksudkan dengan hikmah dalam ayat diatas.

Namun demikian terdapat juga para ulama yang mentafsirkan perkataan hikmah sebagai sunnah nabi mengambil sempena dengan penerangan terhadap kitab Allah yang disebut sebelumnya.

Sebenarnya kedua-dua tafsiran diatas adalah  sama dan tidak bertentangan. Kedatangan nabi sememangnya mengajarkan semua perkara yang disebutkan diatas dan tidak ada sebarang pertentangan antara dua tafsiran itu.

Setelah menerangkan tugas nabi yang berbentuk ilmu dan pengetahuan, ayat ini menyebut lagi tugas rasul yang seterusnya iaitu “menyucikan mereka”

Yang dimaksudkan dengan menyucikan mereka menurut Ibnu Asyur dan Rasyed Redha ialah membersihkan umat manusia daripada segala keburukan dalaman samada syirik, akhlak yang buruk dan penyelewengan pemikiran yang berbagai. Ia adalah pendidikan yang menyempurnakan pembinaan manusia, bukan setakat mengajarkan ilmu semata-mata tetapi juga mencakupi juga pemikiran dan jiwa manusia.

Rangkap terakhir dalam doa ini menunjukkan sifat tawaduk dan merendah diri yang ada pada nabi Ibrahim dan nabi Ismail apabila mereka meletakkan kekuasaan semuanya milik Allah., kerana tuhanlah yang maha perkasa, yang boleh melakukan apa sahaja kemahuannya tanpa sebarang sekatan dan tuhan maha bijaksana yang tidak akan mentakdirkan sesuatu kecualli yang terbaik sahaja.

** Jika benar cinta nabi, hayatilah mesej mereka dibangkitakan iaitu membacakan ayat-ayat Allah, mengajarkan kitab dan hikmah dan mensucikan manusia. Allah mengahantarkan nabi bukan untuk dipuja batang tubuhnya.

Ahad
10 Zulhijjah 1440
11 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *