*TADABBUR WAHYU SIRI 287*

*2.128.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 130*
وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ
130-Tidak mengasingkan diri dari agama Ibrahim, melainkan orang yang memperbodoh dirinya sendiri, dan sungguh Kami telah memilihnya di dunia dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.

Ibnu Asyur menganggap ayat ini menyimpulkan apa yang telah diceritakan sebelum ini tentang nabi Ibrahim.

Penutup cerita kehebatan nabi ibrahim telah didatangkan dengan kesimpulan yang perlu diketahui oleh pembaca cerita ini.

Iaitu perlunya seseorang itu menjadikan nabi Ibrahim sebagai ikutan. Kejayaan nabi Ibrahim mestilah dijelmakan dalam kehidupan manusia.

Bagaimana setelah melihat kejayaan yang begitu gemilang seseorang itu masih boleh mengenepikan jalan yang benar dan mencari jalan-jalan lalin yang tidak membawa kebaikan kepada manusia.

Kenyataan ini juga menunjukkan bahawa ajaran nabi Muhammad saw adalah berapa pada jalur yang sama dengan ajaran nabi Ibrahim.
Jika kaum Yahudi dan Nasrani mengakui bahawa nabi Ibrahim berada pada jalan kebenaran, mengapa pula mereka tidak dapat menerima ajaran anbi Muhammad saw.

Perlu diingat juga, walaupun ajaran nabi Muhammad adalah berada diatas jalan yang sama dengan nabi Ibrahim, akan tetapi ini tidak membenarkan ajaran yang mengajak umat Islam hari ini untuk menghidupkan kembali syariat Baginda.

Kumpulan ini mendakwa ajaran nabi Ibrahim perlu dihidupkan semula dan beberapa bentuk ibadah diperkenalkan kepada pengikut mereka.

Kumpulan ini melakukan kesalahan dari dua sudut, pertama ajaran nabi Ibrahim yang terperinci sudah tidak dapat dikesan. Tidak ada sebarang bukti yang dapat dijadikan hujah membuktikan apa yang didakwa adalah ajaran Baginda.

Syariat nabi Ibrahim yang dapat dikesan hanyalah apa yang disebut dalam Al-Quran dan hadis yang sahih sahaja.

Kesalahan kedua kumpulan ini ialah mereka menganggap perlu kepada mengamalkan ajaran nabi ibrahiim dan meninggalkan ajaran nabi Muhammad saw. Dakwaan ini adalah sangat salah kerana sepatutnya syariat nabi yang terkemudian itulah yang memansuhkan syariat nabi yang terdahulu.

Ajaran nabi Muhammad yang memansuhkan syariat nabi Ibrahim.  Jika ajaran nabi terkemudian dimansuhkan bila adanya syariat nabi terdahulu maka penghantaran seluruh nabi-nabi akan menjadi sia-sia kerana syariat mereka akan dimansuhkan dengan adanya syariaat nabi terdahulu. Keadaan ini tidak lojik sama sekali.

Walau apa pun penyelewengan yang berlaku ini tidak menjejaskan kedudukan dan kemuliaan nabi Ibrahim kerana Baginda telah dimuliakan oleh Allah di dunia dan di akhirat.

Isnin
11 Zulhijjah 1440
12 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *