*2.130.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 132*

وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

132-Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: “Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam”.

Telah menjadi resam insan yang mulia untuk tidak melihat kebaikan dalam ruang kepompong diri sendiri sahaja, sebaliknya menjadi runtunan jiwanya untuk turut meluaskan ruang kebaikan kepada diri orang lain, samada anak-anak, keluarga dan masyarakat.

Bagi menjelaskan keadaan ini Allah menggunakan perkataan “wasiat” yang membawa maksud yang lebih umum bukan hanya sekadar suruhan dan larangan. Tetapi wasiat disini maksudnya mencakupi segala bentuk pesanan dan pengajaran yang diperlukan.

Ternyata sekali cit-cita nabi Ibrahim agar kebenaran yang dibawa oleh Baginda diwarisi oleh generasi yang mendatang kini telah berjaya.

Ayat ini merakamkan nabi Yaakub, cucu nabi Ibrahim, juga meneruskan apa yang diperjuangkan oleh datuknya. Beliau meneruskan kesinambungan perjuangan datuknya yang mulia itu dengan memastikan keturunannya berada ada jalan yang benar.

Mengikut Ibnu Asyur, walaupun pada zahirnya ayat ini menyatakan nabi Ibrahim dan nabi Yaakub memberi wasiat ketika kematian menghampiri mereka, akan tetapi gaya bahasa seperti ini boleh sahaja bermaksud wasiat itu dilakukan di sepanjang hidup mereka. Ini kerana mereka sentiasa merasai kematian itu hampir dengan mereka.

Tafsiran begini lebih sesuai untuk memahami kehebatan tokoh seperti nabi Ibrahim. Ini kerana seorang yang ingin membentuk generasi yang baik tidak  cukup dengan hanya berpesan kepada sanak- saudara dan anak-pinak ketika nyawa mereka telah sampai dipenghujung.

Sebaliknya pendidikan haruslah bermula dari awal hidup manusia dan berterusan di sepanjang masa. Lahirnya generasi yang baik adalah hasil daripada usaha gigih dan pendidikan yang berterusan, tanpa penat dan jemu.

Gambaran pengajaran yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan nabi Yaakub kepada generasi yang mewarisi mereka ialah tetap berada dalam agama sehingga keakhir hayat.

Inilah asas penting dalam pengamalan agma dan sudah tentu tidak boleh difahami keadaan disini sebagai sekadar mengaku Islam semata-mata. Berada dalam agama menuntut seseorang itu untuk mempelajari agama, mengamalkan tuntutannya dan memperjuangkan keutuhannya di dalam masyarakat.

** Bertanyalah pada diri, apakah yang ditinggalkan untuk generasi ?

Rabu
13 Zulhijjah 1440
14 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *