*2.131.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 133*
أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ
Apakah Kamu menyaksikan ketika kematian menghampiri Yaakub, ketika dia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyang mu Ibrahim, Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri.

Perincian wasiat nabi Yaakub kali ini didatangkan dalam bentuk perbualan. Ibnu Asyur berpandangan bahawa ayat ini khusus menceritakan wasiat nabi Yaakub kepada anak-anak dan sanak-saudara Baginda.

Dengan itu dapat difahami bahawa ayat sebelum ini sebenarnya mengkhususkan kepada wasiat nabi Ibrahim kepada anak-anak Baginda.

Seperti yang dijelaskan dalam ayat yang lepas, maksud wasiat ketika kematian bukan bermaksud mereka hanya berpesan ketika mereka hampir mati sahaja. Ini kerana kematian adalah sesuatu yang tidak diketahui detiknya oleh manusia.

Dengan itu maksud kematian menghampiri boleh juga difahami dalam bentuk mereka sentiasa mendidik kaum keluarganya kerana Baginda bimbang kematian akan datang dan jika tidak diberikan pendidikan maka generasi akan datang sudah tentu akan lari daripada jalan yan benar.

Ayat ini menyebut, ketika kematian menghampiri baginda, walaupun kematian adalah keluarnya roh dari jasad manusia. Akan tetapi ia disifatkan seolah-olah suatu makhluk yang menghampiri, gaya bahasa begini digunakan bagi memberikan nilai sastera kepada ayat agar penceritaan menjadi lebih hidup dan dinamik.

Nabi Yaakub digambarkan dalam ayat di atas telah bertanya kepada anak cucunya tentang asas iman dan Islam. Persoalan asas dan pokok ini menggambarkan persoalan Islam secara keseluruhannya.

Dalam masa yang sama dialog ini menunjukkan kesinambungan ajaran nabi-nabi yang membawa kebenaran. Ini kerana nama nabi Ismail turut disebut di dalam kata-kata anak-anak nabi Yaakub.

Keadaan ini memberi isyarat bahawa kebenaran itu merentasi kumpulan yang sempit tidak seperti mana yang didakwa oleh Bani Israel sebelum ini. Orang-orang Yahudi pada zaman Rasulullah tidak menerima nabi Muhammad saw kerana baginda dari keturunan nabi Ismail sementara Bani Israel dari keturunan nabi Ishak.

Rangkap terakhir ayat ini menggambarkan asas ajaran agama yang berupa iman dan amal. Percaya kepada tuhan yang satu dan kepadanya kami tunduk. Itulah asas ajaran agama Islam bukannya keturunan yang menjadi asas.

Jawapan anak-anak nabi Yaakub terhadap persoalan bapa mereka memberi maksud bahawa Bani Israel sendiri telah menyaksikan kebenaran terhadap syariat nabi Ismail yang bukan dari jalur Bani Israel dari sudut darah dan keturunan.

Oleh itu penyelewengan yang berlaku sehingga menyatakan hanya Bani Israel yang mendapat hidayah berpunca dari generasi terkemudian yang menyelewengkan fakta dan kebenaran.

** Maklumat yang salah boleh bertukar menjadi akidah kepercayaan yang dipegang erat apabila seseorang menyimpang dari kebenaran.

Khamis
14 Zulhijjah 1440
15 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *