*2.132.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 134*
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ

134-Mereka itu adalah umat yang telah berlalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang telah mereka lakukan.

Mengikut Ibnu Asyur, ayat ini menerangkan tentang keseluruhan mereka yang terlibat dalam kisah nabi Ibrahim bermula dari cerita bagaimana Baginda telah dimuliakan oleh Allah.

Ia memberi pengajaran khusus kepada akaum Yahudi yang merasakan mereka mendapat kemuliaan kerana keturunan. Sedangkan kemuliaan disisi Allah adalah berdasarkan apa yang seseorang usahakan.

Konfilik yang berlaku semasa ayat ini diturunkan ialah antara nabi Muhammad saw dengan kaum Yahudi, namun demikian adalah agak mustahil pengajaran yang begini penting ditujukan kepada Bani Israel semata-mata, sebaliknya ayat ini membawa pengajaran penting untuk sekelian manusia.

Pelajaran penting ini terdiri daripada bagaimana seorang manusia itu mendapat kemuliaan dan kehinaan diatas apa yang mereka usahakan. Allah swt tidak mengambil kira diatas apa yang manusia tidak dapat usahakan.

Kemuliaan keturunan bukan hasil dari pilihan dan usaha manusia. Kerana itu, ia tidak menjadi nilaian kemuliaan di sisi Allah.

Apa yang dinilai di sisi Allah ialah iman dan amal, itulah yang menjadi ukuran tuhan. Iman adalah amalan hati semantaara amalan anggota adalah termasuk segala yang zahir dan diusahakan oleh manusia.

Satu pelajaran penting yang dapat dan perlu dihayati secara tidak langsung daripada ayat ini ialah seseorang itu tidak mengetahui secara terperinci apa yang telah berlaku pada masa lampau.

Kita sebenarnya tidak mengetahui secara terperinci faktor orang-orang terdahulu berpendirian seperti yang kita ketahui melalui sumber peninggalan mereka.

Ini kerana berita yang diterima tentang mereka adalah sangat terhad dan cerita tentang mereka yang sampai kepada kita mengandungi kekaburan, kecualli apa yang diterangkan dengan jelas oleh al-Quran atau hadis.

Dengan kekaburan itu, adalah mustahil untk seseorang menjadi penghukum kepada generasi terdahulu dalam perkara yang mempunyai banyak kemungkinan, sebaliknya hakikat sebenar mereka lebih baik diserahkan kepada Allah yang Maha mengetahui.

Dengan mengamalkan perinsip begini seseorang itu akan teerselamat daripada menghukum tentang orang lain secara zalim.

Beramal dengan perinsip ini dapat mengelakkan seseorang muslim daripada melakukan tindakan memburukkan orang-orang yang terdahulu samada ulama, pemikir dan tokoh-tokoh.

Perincian peristiwa dan keadaan mereka tidak dapat diketahui secara tepat oleh kita, oleh itu meletakkan hukuman terhadap apa yang mereka lakukan adalah diluar daripada kemampuan dan keperluan untuk manusia zaman ini.

Lihat sahaja orang-orang yang memburukkan Othman bin Affan kerana tidak  bersetuju dengan beberapa tindakan beliau, sedangkan Othman bin Affan adalah sahabat nabi yang telah diakui keimanan dan kebenarannya.

Merekalah umat yang telah lampau dan untuk mereka apa yang mereka usahakan dan kita tidak akan dipertanggungjawabkan terhadap apa yang mereka lakukan.

Perinsip ini bukan bermaksud kita disuruh menerima sesuatu yang salah dari mereka yang terdahulu, tetapi perinsip ini mengingatkan kita tentang apa yang perlu dilakukan.

Seringkali didengari ada individu yang memburukkan, mengejek dan menghina ulama silam kerana  pandangan atau maklumat yang dibawa mengandungi kesilapan.

Dibawah perinsip ini, kita sepatutnya hanya perlu menolak apa yang silap daripada mereka dan menyerahkan niat serta hukuman terhadap usaha mereka kepada Allah yang maha mengetahui.

** Usah teruja untuk menghukum orang lain.

Jumaat
15 Zulhijjah 1440
16 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *