*TADABBUR WAHYU SIRI 295*

*2.136.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 138*
صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ
138- Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? dan kepadaNyalah kami mengabdikan diri.

Para ulama berbeza pandangan dalam mentafsirkan makna “sibghah”atau “celupan” dalam ayat diatas. Mengikut Ibnu Asyur perkataan “sibghah” adalah air yang telah digunakan oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani dalam upacara ibadat mereka.

Mereka akan mandi dengan air tersebut dengan beriktikad ianya sebagai simbul penghapusan dosa dan taubat. Dikatakan juga bahawa perbuatan tersebut adalah daripada amalan nabi-nabi terdahulu.

Pandangan ini walau bagaimanapun tidak sesuai untuk dijadikan tafsiran kepada ayat ini, pandangan yang lebih jelas ialah apa yang telah dinukilkan oleh Rasyed Redha dalam tafsir Al-Manar.

Beliau berpandangan bahawa perkataan “sibghah” adalah bermaksud cat. Ia merujuk kepada ajaran nabi-nabi yang telah diutuskan oleh Allah kepada manusia.

Ajaran ini bersamaan dengan fitrah semula jadi manusia. Atau ajaran yang sama dengan keperluan dan kehendak semulajadi manusia. Ia pula adalah ajaran yang asli dari Allah tanpa dimasuki oleh apa-apa ciptaan dari mereka yang membawanya.

Dengan itu setiap teras ajaran Islam adalah fitrah kemanusiaan dan tidak terpisah dari naluri manusia. Keserasian ini diibaratkan seperti kain yang telah dicat dengan sesuatu warna yang tidak lagi boleh diubah kepada yang lain.

Disebabkan kerja mewarnakan pakaian pada zaman dahulu adalah dilakukan dengan cara mencelup pakaian kedalam bekas yang mengandungi warna, maka perkataan “sibghah” telah diterjemahkan sebagai celupan dan “sibghatullah” diterjemah sebagai celupan Allah. Mungkin kerana apabila diterjemah dengan cat Allah ia akan membawa kekliruan kepada pembaca.

Walau apa pun, ajaran nabi-nabi yng telah disebut sebelum ini adalah dari Allah dan ianya menyerupai fitrah manusia dan tidak ada sesuatupun yang dapat menggantikan agama ini bersesuaian dengan fitrah manusia kecuali Islam sahaja. Dengan itu, mengamalkan ajaran Islam itulah dia pengabdian yang sebenar kepada Allah.

Selasa
19 Zulhijjah 1440
20 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *