TADABBUR WAHYU SIRI 297

TADABBUR WAHYU SIRI 297
TADABBUR WAHYU SIRI 297

2.138.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 140
أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطَ كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

140-“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani,?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang telah kamu lakukan.

Kekeliruan terhadap hakikat kebenaran yang berlakuk hasil dari kejahilan dan kejahatan manusia yang tidak bertanggungjawab.

Mereka mengelirukan manusia lain dengan fakta agama yang kelihatan benar pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya menyeleweng. Hanya orang-orang yang berilmu dan ikhlas mencari kebenaran yang dapat membezakan antara kebenaran dan kesesatan.

Ibnu Asyur menyatakan bahawa umat yang diliputi kejahilan akan membawa akidah yang songsang. Akidah kepercayaan yang didasarkan kepada sangkaan dan ikutan membuta tuli. Hal ini telah terjadi kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani yang percaya kepada cerita orang agama mereka yang mengatakan bahawa nabi Ibrahim sebenarnya orang Yahudi, begitu juga dengan orang-orang Nasriani, mereka mendakwa perkara yang sama.

Sedangkan jika mereka berfikir, sudah tentu dapat dilihat dengan jelas bahawa nabi Ibrahim lebih awal berbanding nabi-nabi mereka. Bahkan mengikut Rasyed Redha, dalam tafsir al-Manar kumpulan Yahudi dan Nasara terbentuk lebih lewat daripada zaman nabi Musa dan nabi Isa itu sendiri.

Jika ia ajaran nabi Musa dan Isa sekalipun, bagaimana pula nabi Ibrahim yang mengikut nabi-nabi itu sedangkankan nabi Ibrahim lebih awal dari nabi-nabi yang mereka ikuti itu.

Mengikut Imam al-
Sayuti di dalam kitab beliau bertajuk al-Durru al-Manthur, jarak antara zaman nabi Ibrahim dan nabi Musa adalah 700 tahun dan jarak antara nabi Musa dan nabi Isa ialah 1500 tahun.

Selain daripada perbezaan masa, ajaran nabi Ibrahim dan ajaran Yahudi dan Nasrani adalah berbeza dari sudut asas dan dasarnya. Mereka tidak berhak mendakwa ajaran mereka adalah kesinambungan daripada ajaran nabi Ibrahim kerana Baginda tidak mengamalankan amalan syirik seperti yang telah Yahudi dan Nasrani amalkan.

Rangkap kedua ayat ini juga menggunakan gaya Allah menyuruh nabi menjawab:

“katakanlah (wahai Muhammad) kamukah yang lebih mengetahui atau Allah yang lebih mengetahui”

Ini bagi menunjukkan bahawa Allah menolak dakwaan mereka, kerana Allah mengetahui hakikat sebenar, hakikat itu diketahui juga oleh pendita-pendita mereka tetapi tidak diketahui oleh orang kebanyakan kerana mereka tidak memiliki ilmu. Apabila mereka menyerahkan persoalan ilmu kepada orang-orang yang tidak amanah, maka maklumat yang diterima oleh orang awam telah diselewengkan.

Kerana itu didalam rangkap ketiga, Allah bertanya dalam bentuk untuk menunjukkan bahawa tuhan menolak sifat pendita-pendita yang telah menyembunyikan kebenaran itu.

Khamis
21 Zulhijjah 1440
22 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟 https://ustazrosli.com/tadabbur-wahyu-siri-297/

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *