*TADABBUR WAHYU SIRI 298*

*2.138.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 140*
أَمْ تَقُولُونَ إِنَّ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ وَيَعْقُوبَ وَالْأَسْبَاطَ كَانُوا هُودًا أَوْ نَصَارَىٰ ۗ قُلْ أَأَنْتُمْ أَعْلَمُ أَمِ اللَّهُ ۗ وَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنْ كَتَمَ شَهَادَةً عِنْدَهُ مِنَ اللَّهِ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

140-“Atau patutkah kamu mengatakan, bahawa Nabi Ibrahim, dan Nabi Ismail, dan Nabi Ishak, dan Nabi Yaakub beserta anak-anaknya, mereka semua adalah orang-orang Yahudi atau Nasrani,?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah? Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai dari apa yang telah kamu lakukan.

Dalam rangkap ketiga, Allah bertanya dalam bentuk untuk menunjukkan bahawa tuhan menolak sifat pendita-pendita yang telah menyembunyikan kebenaran itu.

“Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?”

Orang yang berilmu memikul tanggungjawab membaiki kekeliruan yang ada dalam masyarakat dan membimbing masyarakat di atas jalan yang benar, bukannya mengambil peluang di atas kejahilan mereka, lalu mengeluarkan kenyataan- kenyataan dan fakta yang tidak tepat serta terseleweng semata-mata demi kepentingan diri dan kumpulan.

Itulah amanah ilmu yang Allah letakkan keatas bahu mereka yang diberikan kemuliaan ilmu. Persis seorang yang diberikan harta mesti menggunakan harta itu untuk mendapat keredaan Allah melalui bantuan, pemberian dan infaq, maka mereka yan diberikan ilmu zakatnya ialah penerangan dan menjelaskan kekeliruan yang berlaku.

Ayat ini menjelaskan bahawa mereka yang enggan melakukan perubahan terhadap persekitaran yang jahil dan dipenuhi kekeliruan adalah mereka yang zalim dan akan menerima balasan buruk dari Allah atas apa yang mereka lakukan. Dan Allah tidak leka terhadap apa yang mereka lakukan.

Nafsu Bani Israel yang mendakwa hanya mereka yang berhak berada pada jalan kebenaran ini tempiasnya telah juga mengenai sebahagian umat Islam di sepanjang zaman.

Keadaan ini telah membuktikan bahawa fenomena yang berlaku keatas Bani Israel, bukanlah fenomena bangsa sebaliknya ia berlaku kerana itulah sifat manusia dan kecenderungan kemanusiaan.

Ada dikalangan manusia yang cenderung untuk menafikan bahawa orang lain juga mendapat hidayah dan petunjuk Allah, sebaliknya mereka cuba menjadikan hidayah itu berkisar dari dalam puak dan kumpulan yang dibentuk oleh mereka sendiri. Mana-mana kebaikan yang datang dari luar kumpulan mereka yang sempit itu akan dinafikan dan digambarkan sebagai kesalahan dan kesesatan.

Sifat sebegini berlaku atas dorongan mencari pengaruh dan menerima sokongan orang-orang yang jahil terhadap keluasan Islam dan kesejagatannya.

Jumaat
22 Zulhijjah 1440
23 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *