*TADABBUR WAHYU SIRI 299*

*2.139.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 141*
تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ ۖ لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ ۖ وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ
141-Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang telah mereka usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang mereka telah lakukan.

Bagi menutup perbincangan kisah nabi Ibrahim dan keterunannya ini, al-Quran mengulang sekali lagi ayat yang membawa perinsip penting ini. Mereka adalah umat yang telah lampau, mereka mendapat apa yang mereka usahakan dan kamu akan mendapat apa yang kamu usahakan.

Jika salah tindakan mereka, maka balasan kesalahan itu adalah terserah kepada Allah, sesuai dengan keadaan dan niat mereka.

Hanya Allah yang Maha mengetahui apakah balasan yang setimpal untuk mereka. Jika baik amalan mereka, maka baiklah ganjaran  yang akan Allah berikan, kerana Allah tidak mensia-siakan amalan hambanya.

Adapun kita, maka kitalah yang perlu berusaha untuk mendapat apa yang dijanjikan oleh Allah. Adapun untuk menghukum orang lain maka itu bukan tanggungjawab yang dipikulkan oleh Allah kepada kita.

Tugas rasul yang diwariskan kepada umatnya ialah tanggungjawab menyampaikan risalah perhambaan kepada seluruh manusia. Itulah yang perlu dipikul dan itulah yang akan ditanya oleh Allah kepada manusia.

Seringkali sebahagian manusia terperangkap dengan sangkaan dan harapan palsu, apabila mereka meletakkan kemuliaan berdasarkan keturunan, kumpulan dan kedaerahan.

Lalu mereka mengabaikan iman dan amal.Dakwaan menjadi sebahagian dari kumpulan tertentu tidak menjadikan seseorang itu lebih mulia dari orang lain. Seringkali ditemui orang-orang yang menisbahan diri mereka kepada kumpulan tertentu  berasa mulia, berjaya dan berasa lebih tinggi kedudukan berbanding orang lain. Sedangkan jika dilihat dari sudut sumbangan dan kebaikan yang dakukan, tidak ada apa-apa yang dilakukan.

Orang-orang seperti ini tenggelam dalam angan-angan yang dicipta sendiri oleh diri mereka, kadangkala pula angan-angan itu sengaja ditiupkan oleh orang yang meraih sokongan dan pengikut. Dengan harapan janji-janji kemuliaan itu akan dapat menjadikan mereka tinggi di mata pengikut yang fanatik dan membuta tuli.

** Semoga Allah memberi perlindungan dari menjadi orang yang dibuai oleh angan-angan palsu.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Sabtu
21 Zulhijjah 1440
24 Ogos 2019
Ustaz Rosli Mokhtar

Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *