*TADABBUR WAHYU SIRI 310*

*2.149.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 150*

وَمِنۡ حَيۡثُ خَرَجۡتَ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَيۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيۡكُمۡ حُجَّةٌ إِلَّا ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنۡهُمۡ فَلَا تَخۡشَوۡهُمۡ وَٱخۡشَوۡنِي وَلِأُتِمَّ نِعۡمَتِي عَلَيۡكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَهۡتَدُونَ.
150- Dan dari mana sahaja engkau keluar, maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepada Ku (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).
Maklumat tambahan dalam ayat ini ialah diterangkan sebab atau hikmah pensyariatan mengadap kaabah, sebagai tambahan daripada sebab dan hikmah yang telah disebut sebelum ini.

“supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu)”
Menurut Syeikh rasyed redha dalam tafsir al-Manar, pengulangan dalam ayat  ini bukan setakat untuk menguatkan suruhan tetapi sebaliknya ada penambahan maklumat penting. Ayat ini menerangkan tentang rahsia pensyariatan mengadap kaabah dalam mendirikan solat.

Dengan hujah ini beliau menolak pandangan Imam Sayuti yang menganggap pengulangan ini hanya untuk menegaskan suruhan mengadap kiblat semata-mata.

Menurut beliau, orang-orang yang menolak perubhan arah kiblat itu ialah orang-orang musyrikin, kaum yahudi dan orang-orang munafik. Mereka masing-masing memiliki hujah dalam menolak suruhan Allah itu.

Kaum Yahudi sebelum ini mengetahui bahawa nabi Ismail dan nabi-nabi dari keturunan baginda sememangnya mendirikan solat dengan mengadap kearah kiblat di Mekah. Hal ini berlaku semenjak Baginda mendirikan Kaabah lagi.

Apabila Rasulullah saw dibangkitkan dan beliau diarahkan pada mulanya solat mengadap kearah Baitul Maqdis, maka keadaan ini menjadi hujah kepada mereka bahawa nabi Muhammad saw bukanlah nabi akhir zaman yang dijanjikan oleh Allah. Ini kerana kononnya dia hanya meneruskan apa yang telah dilakukan oleh nabi-nabi dari kalangan bani Israel sahaja.

Kaum musrikin Mekah pula menolak tindakan nabi yang disuruh pada awalnya mengadap Baitul Maqdis kerana mereka mengatakan bahawa jika nabi Muhammad saw itu utuan Allah dan membawa ajaran yang meneruskan agama nabi Ibrahim, dia sepatutnya solat mengadap kearah kiblat di Mekah dan bukannya mengadap Baitul Maqdis.

Dengan kedua-dua hujah ini kaum munafik menggunakannya sebagai alasan untuk menentang nabi saw. Namun demikian, perintah Allah agar nabi menukar arah kiblat dari mengadap Baitul Maqdis kepada mengadap kaabah telah membuatkan hujah pihak yang menentang nabi telah dipatahkan.

Kini mereka tidak mempunyai alasan lagi untuk memburuk-burukkan ajaran Baginda kecuali orang-orang yang menutup mata terhadap kebenaran dan sentiasa mencari alasan untuk menentang Rasulullah saw.

Mereka yang meneruskan penentangan cuba mencari alasan yang bersesuaian dengan nafsu masing-masing.

Orang-orang Yahudi dan munafik menuduh nabi saw mengubah arah kiblat demi untuk mendapat simpati daripada bangsa baginda sendiri dan bagi mereka nabi Muhammad akan kembali menyembah berhala.

Perkara yang sama diandaikan oleh orang-orang musrikin Mekah. Mereka menganggap bahawa pertukaran arah kiblat ke Mekah adalah permulaaan kepada tindakan Rasulullah untuk berlembut dengan ajaran syirik dan dia akan sedikit demi sedikit kembali kepada agama mereka.

Kaum munafikin Madinah pula menjadikan pertukaran arah kiblat sebagai hujah bahawa nabi Muhammad tidak mempunyai pendirian yang konsisten.

Hal ini menjadi suatu cabaran besar kepada orang beriman dan lebih utama lagi kepada mereka yang belum kuat keimanannya kepada Islam.

Rabu
4 Muharram 1440
4 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *