*TADABBUR WAHYU SIRI 313*

*2.152.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 154*
وَلَا تَقُولُواْ لِمَن يُقۡتَلُ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمۡوَٰتُۢۚ بَلۡ أَحۡيَآءٞ وَلَٰكِن لَّا تَشۡعُرُونَ.

154- Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya.

Larangan supaya jangan mengatakan orang yang mati dibunuh pada jalan Allah bukanlah larangan pada zahirnya. Tapi larangan ini sebenarnya bermaksud janganlah kamu sangka orang yang mati dibunuh pada jalan Allah itu telah mati.

Menafikan kematian orang yang dibunuh pada jalan Allah juga adalah ungkapan yang simbolik. Ini kerana kalau mereka tidak mati bagaimana pula mereka dikatakan telah dibunuh. Oleh itu yang dimaksudkan dengan mati disini ialah tamatnya riwayat kehidupan mereka.

Dalam etikata yang lain janganlah kamu menyangka orang yang telah dibunuh kerana berjuang pada jalan Allah telah mati dan tamat kehidupan mereka. Sebaliknya mereka hanya mati dalam kehidupan dunia, akan tetapi mereka tetap hidup di dalam alam yang abadi disisi Allah. Kehidupan itu tidak dirasai oleh manusia yang berada dialam dunianini.

Ayat ini sebenarnya telah memberikan kefahaman yang lebih mendalam terhadap ayat sebelumnya. Ini kerana sebelum ini arahan untuk sabar dan berdoa serta solat adalah bermaksud teruskanlah perjuanganmu untuk menegakkan kebenaran dan membawa mesej yang mengubah keadaan hidup manusia dengan kamu tetap sabar dan bermohon kepada Allah.

Sebenarnya pemilihan terhadap topik ini sangat sesuai diletakkan disini kerana sebelum ini baru sahaja diceritakan kepada para pembaca tentang perjuangan mereka yang telah dipillih untuk menjadi contoh dan tauladan kepada manusia.

Bayangkan tajuk begini jarang sekali ditemui oleh seseorang yang membaca pelajaran agama di zaman ini, sedangkan al-Quran telah meletakkannya diantara tajuk yang terawal dalam membincangkan kewajipan seorang beriman.

al-Quran sebagai kitab suci umat Islam dan perlembagaan hidup mereka mengajak manusia untuk berfikir dan menghayati kehidupan yang lebih luas dan tuntutan kewajipan yang lebih besar.

Malangnya apabila umat islam menjauhkan diri daripada al-Quran dan umat Islam berada dalam zaman kelemahan, mereka telah menjadikan ajaran agama berlegar dalam sekitar amalan individu seperti ibadat-ibadat tertentu sahaja. Sementara tuntutan agama yang bersifat teras seperti pengajaran ayat ini dilihat sebagai satu tuntutan yang asing dan bukan keutamaan dalam amalan agama.

**Islam mengajak muslim untuk berfikir dalam ruanglingkup yang lebih besar keluar dari dalam lingkungan induvidu semata-mata. Keterlibatan mukmin dalam perjuangan adalah topik pertama yang disentuh dalam perenggan ini.

7 Muharram 1440
7 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *