*TADABBUR WAHYU SIRI 314*

*2.153.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 155*
وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمْوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

155- Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

Setelah menerangkan risiko paling maksima dalam perjuangan iaitu pengorbanan nyawa, kini diterangkan pula ujian-ujian lain yang bakal menemui orang yang berjuang pada jalan Allah.

Ujian Allah adalah sunnah alam yang akan mendepani manusia. Dengan itu perlu diingati bahawa mengaku menjadi orang beriman dan melakukan beberapa amal soleh bukanlah tiket percuma untuk mendapat kemewahan dan keseronokan hidup di dunia ini.

Seorang muslim tetap berada di dalam kitaran sunnah alam yang telah ditetapkan oleh Allah, iaitu kesenangan dan kesusahan silih berganti. Bagi setiap mereka yang mementingkan kebahagiaaan hari akhirat tidak akan menerima penghayatan agama dikala ia berada pada situasi mudah dan mewah sahaja. Akan tetapi dia beredar bersama kebenaran sepanjang masa samada ketika detik ujian dan pancaroba atau saat mudah dan senang.

Ujian Allah ini telah disebut dalam lafas yang mengandungi penegasan “walanabluannakum” huruf “waw” dan “lam” adalah bermaksud penegasan dalam perkataan diatas, seterusnya diletakkan huruf “nun” yang mengandungi tasyhdid dipanggil nun taukid bagi menjelaskan penegasan tambahan.

Dengan itu dapat diketahui bahawa sememangnya ujian Allah akan dikenakan kepada manusia ini dan ia menjadi sunnah alam diatas muka bumi. Seperti mana yang sebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi bahawa orang yang paling kuat diuji oleh Allah ialah para nabi dan kemudiannya orang yang iman mereka paling hampir dengan iman para nabi, kemudiannya begitulah seterusnya.

Adapun menganggap orang yang menerima kesenangan dunia sebagai orang yang diredai oleh Allah maka keadaan ini nampaknya bukanlah satu neraca yang mutlak.

Namun demikian perlu diingatkan juga bahawa menjadikan kesusahan sebagai bukti seseorang itu dirahmati Allah dan berada dipihak yanag benar juga adalah tidak tepat.

Ini kerana ada sahaja keburukan yang menimpa manusia disebabkan oleh keburukan dan kesalahan yagn mereka lakukan. Lantaran terlalu melaihat ayat ini secara zahir dapat dilihat bahawa ada sebahagian umat Islam menjadikan ayat ini sebagai alasan untuk mereka tidak berusaha keluar dari kesilapan yang dilakukan oleh mereka.

Keadaan kesusahan sering dijadikan sebagai alasan oleh mereka yang tidak bertanggung jawab agar mengelirukan masyarakat kononnya mereka berasa dipihak yang benar.

Sepanjang pengalaman dakwah didapati bahawa sebahagian pendakwah sering terperangkap dengan nafsu mereka dengan menggunakan ayat ini secara salah. Ini kerana apabila mereka ditimpa kesusahan dan kekalahan disebabkan oleh kesilapan stategi, kekurangan perhatian dan salah dalam membuat penilaian maka dengan mudah mereka membaca ayat ini untuk mengelakkan mereka dimuhasabah dan amalan mereka dinilai  sebagai salah oleh mana-mana pihak.

Tindakan ini sudah tentu tidak bertanggungjawab dan menggunakan ayat al-Quran ditempatnya yang salah.

Ayat ini lebih kepada menerangkan bahawa kesusahan dan pancaroba adalah asam garam kehidupan yang tidak dapat dielakkan oleh manusia dalam memperjuangkan risalah yang dipikul olehnya.

Jika seorang muslim berdepan dengan rintangan dan halangan seperti ini samada peperangan, rintangan kesusahan pada harta, kemiskinan dan ketakutan maka seorang musim yang baik adalah yang tetap sabar dan meneruskan usaha mereka dalam membela kebenaran dan menyebarkan kebaikan.

Bukan mereka yang mendahulukan dunia lalu tidak sanggup bersusah payah demi agama Allah lalu memilih kerehatan dan keseronokan hidup didunia yang sementara ini.

Bagi menguatkan gesaan in maka Allah memuji orang yang memikul amanah dan meneruskan perjuangan dengan memberikan kepada mereka berita gembira.

**Hati yang penuh dengan cinta dunia dan keseronokannya sukar memahami erti perjuangan dan pengorbanan.

8 Muharram 1440
8 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *