*TADABBUR WAHYU SIRI 315*

*2.154.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 156*
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُمْ مُصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
156-(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”

Kali ini dijelaskan pula ciri-ciri orang yang sabar dengan menceritakan keadaan mereka ketika ditimpa sesuatu musibah. Orang-orang yang sabar digambarkan berkata innalillah wa inna ilaihi rojiun.

Apa yang menarik ialah ayat ini tidak didatangkan dalam bentuk suruhan mengatakan Innalillah wainna ilaihi rojiun, sebaliknya ayat ini menceritakan keadaan orang yang sabar apabila ditimpa musibah mereka akan mengucapkan kata-kata ini.

Gaya penyampaian seperti ini memberi ruang pentafsiran yang lebih luas berbanding dengan gaya suruhan mengucapkannya secara ayat perintah.

Innalillah wa inna ilaihi rojiun bermaksud kami adalah milik Allah, seorang mukmin meyakini bahawa dirinya adalah milik Allah bukan itu sahaja bahkan tubuh badan yang dimiliki, kepandaian yang ada, harta yang dipunyai serta segala nikmat yang dikecapi di dunia ini adalah milik Allah yang dipinjamkan kepadanya.

Oleh itu jika Allah mengenakan kepadanya musibah iaitu dengan menarik sebahagian daripada pemberian pinjaman itu maka itu adalah hak Allah yang maha mengetahui dan melakukan sesuatu berdasarkan hikmah dan ilmuNya.

Rangkap kedua ungkapan ini ialah wa inna ilaihi rojiun, iaitu seorang muslim diajar untuk meyakini bahawa dunia ini adalah tempat sementara di mana segala apa yang dimiliki tidak akan kekal selamanya.

Tempat yang abadi bagi manusia adalah disisi Allah, di alam akhirat. Oleh itu, dua rangkap penting ini apabila diucapkan oleh seorang muslim merupakan satu ungkapan yang penuh makna bukan hanya sekadar kata-kata yang dihafal dan dihamburkan pada lisannya semata-mata.

Ibnu Asyur dan Rasyed Redha sepakat menyatakan bahawa tuntutan mengucapkan kedua-dua rangkap ini mestilah timbul dari keyakinan dan kesedaran seseorang individu, kerana agama Islam berdiri di atas perlaksanaan amalan yang didasari oleh keyakinan dan pemahaman bukan hanya sekadar mementingkan upacara dan ungkapan semata-mata.

Hal ini perlu dijelaskan kepada masyarakat Islam masakini kerana ada sebahagian umat Islam yang menyangka ungkapan Innalillahiwainnailaihirojiun hanyalah diucapkan ketika adanya kematian semata-mata, sebenarnya ungkapan ini digalakkan untuk diucapkan ketika seseorang itu berdepan dengan sebarang musibah dan kesusahan tidak kira ianya besar ataupun kecil.

Sempena dengan perbincangan ini perlu diingatkan juga bahawa doa-doa dan ucapan yang disyariatkan di dalam Islam ketika bersempena dengan sesuatu keadaan perlu dilakukan dengan kesedaran kefahaman dan diasaskan di atas dasar kepercayaan.

Ini kerana ada kecenderungan sesetengah umat Islam untuk mengamalkan sesuatu doa dan zikir tanpa mereka memahami dan mengetahui apa sebenarnya yang mereka sedang ungkapkan.

Keadaan ini timbul kerana mereka percayai kepada keberkatan sesuatu ungkapan atas dakwaan ianya diberikan oleh seseorang yang warak dan berkat, sedangkan mereka tidak memahami apa yang sedang diucapkan.

Mungkin sebahagian daripada kesan sikap sebegini menyebabkan adanya pihak yang mengamalkan ungkapan-ungkapan yang baik, tetapi perbuatan dan tindakan mereka bertentangan dengan apa yang diucapkan.

Sudah tentu situasi ini tidak sehat kerana amalan seperti itu tidak mampu membina dan membaiki tahap kefahaman dan keimanan seorang muslim kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

9 Muharram 1440
9 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *