*TADABBUR WAHYU SIRI 316*

*2.155.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 157*
أُوْلَئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ
157- Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan selawat dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

Merekalah orang yang mendapat selawat dari tuhan mereka. Siapakah mereka itu? Mereka adalah orang yang berjuang dalam hidup mereka, tidak hidup untuk keseronokan dunia ini.

Mereka berdepan dengan berbagai cabaran dan dugaan. Namun mereka tetap mengingati bahawa mereka adalah milik Allah, lalu mereka faham bahawa Allah berhak untuk menguji mereka. Mereka juga sedar bahawa dunia adalah alam sementara dan tidak kekal. Oleh itu kejayaan yang hakiki bagi mereka adalah kejayaan di akhirat. Inilah mereka yang dimaksudkan dalam ayat ini.

Keadaan ini telah diterangkan dalam ayat sebelum ini ketika mana Allah mengatakan bahawa orang yang mati dibunuh pada jalan Allah akan tetap hidup di sisi Allah.

Sering kali ayat ini disalah ertikan, iaitu ramai yang menyangka orang yang mendapat selawat dari tuhan adalah orang yang mengucapkan inallillah wainna ilaihi rajiun, semata-mata ucapan.

Akan tetapi sebenarnya perkataan “ulaaika” bermana “mereka itu”  kembali kepada orang beriman dan berjuang serta sabar dengan dugaannya

Salah satu kesilapan lagi ialah ramai yang menyangka kemuliaan hanya didapati bagi mereka yang dibunuh pada jalan Allah. Sebenarnya kemuliaan ialah bagi mereka yang hidup dalam perjuangan. Adapun mati dibunuh itu adalah kemuncak kepada pengorbanan dan perjuangan. Ia tidak bermaksud orang yang tidak dibunuh terlepas dari mendapat pahala dan kebaikan.

Kebaikan dari Allah dalam ayat ini dinamakan dengan “selawat”. Ia sedikit mengelirukan kepada penggunaan bahasa Melayu kerana selawat dalam bahasa Melayu ialah selawat kepada nabi.

Perkataan selawat dalam bahasa Arab asalnya bermakna “doa”, namun demikian ia digunakan secara meluas sebagai selawat kepada rasul, selain ia digunakan untuk makna sembahyang.

Makna ini tidak bertentangan kerana selawat kepada nabi maksudnya seseorang itu mendoakan  kerahmatan dari Allah untuk nabi Muhammad saw. Perkataan selawat atau doa itu bila disandarkan kepada Allah ia bermaksud kebaikan, keberkatan dan sebagainya.

Perkataan “rahmat” yang disebut selepas perkataan “selawat” adalah bermaksud mengkhususkan salah satu daripada kebaikan yang disebut secara umum dalam perkataan selawat.

Teknik ini banyak sekali digunakan dalam al-Quran seperti firman Allah dalam surah al-asr yang bermaksud “berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran”.  Kesabaran yang disebut dalam ayat ini adalah salah satu pecahan daripada sifat kebenaran.

Rangkap terakhir ayat ini “Dan merekalah orang yang mendapat hidayah” iaitu mereka yang berada dalam keadaan demikian bermula daripada perjuangan yang didokong, kesabaran dan keredaan terhadap ujian Allah menunjukkan mereka berada dalam hidayah Allah.

Didalam ayat ini telah diterangkan tiga nikmat Allah yang diberikan kepada orang beriman dan berjuang iaitu mereka mendapat selawat, rahmat dan hidayah dari Allah.

** Semoga kita termasuk dikalangan orang-orang yang berusaha untuk mendapat selawat, rahmat dan hidayah dari Allah dengan hidup membawa risalah.

10 Muharram 1440
10 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *