*TADABBUR WAHYU SIRI 318*

*2.157.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 159*

إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنزَلْنَا مِنَ الْبَيِّنَاتِ وَالْهُدَى مِن بَعْدِ مَا بَيَّنَّاهُ لِلنَّاسِ فِي الْكِتَابِ أُوْلَئِكَ يَلْعَنُهُمُ اللَّهُ وَيَلْعَنُهُمُ اللاَّعِنُونَ.

159-Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk.

Ayat ini amat mengejutkan apabila membincangkan persoalan menyembunyikan petunjuk Allah kepada manusia selepas membincangkan tentang ibadat haji.

Tajuk yang dibincangkan agak kelihatan janggal dan terlalu jauh perubahannya. Dengan itu tidak hairan jika ramai pembaca al-Quran menganggap al-Quran tidak sekata dan membincangkan isu-isu yang berbagai secara berkecamuk.

Pandangan sedemikian tidak benar sama sekali, ini kerana jika diperhatikan dengan baik, dapat dirasai bahawa tajuk perbincangan mengenai orang yang menyembunyikan ilmu dan petujuk Allah adalah sangat penting untuk dinyatakan disini.

Ini kerana salah satu sebab penting yang membawa kepada kesesatan Bani Israel ialah wujudnya golongan berilmu dari kalangan mereka yang tidak berani menyatakan kebenaran.

Apabila Rasulullah saw datang ke Madinah dan membawa ajaran Islam, mereka mengetahui bahawa apa yang dibawa oleh Rasulullah saw itu benar.

Namun demikian bukan senang untuk menerima sesuatu yang  asing dari apa yang dipercayai oleh masyarakat. Ini kerana seorang ilmuan yang menongkah arus akan dikutuk oleh masyarakat dan ilmuan itu akan disisihkan, sedangkan mereka sebelum ini dihormati dan diberikan penghargaan.

Para pembaca dapat membuat kesimpulan yang luas hasil daripada pembentangan ayat yang begini simbolik. Ini kerana kerja-kerja menyampaikan kebenaran dan fakta yang betul tidak semudah apa yang disangkakan.

Ia memerlukan keberanian yang tinggi dan pengorbanan yang besar. Lihat sahaja pejuang-pejuang kebenaran di sepanjang zaman, mereka cuba membawa perubahan dan menyedarkan masyarakat terhadap kesilapan dan kelemahan yang berlaku, namun demikian dalam banyak hal mereka akan berdepan dengan berbagai ujian dan tribulasi yang getir.

Disamping itu seringkali pula mereka kehilangan peluang untuk mengumpul kekayaan, kesenangan dan pengaruh, tidak serupa dengan ilmuan yang mengikut kemahuan masyarakat dan membiarkan sahaja segala kepincangan yang berlaku tanpa ditegur.

Dalam era penjajahan British dan Belanda di alam Nusantara, lahirnya mereka yang cuba menyedarkan masyaarkat dan mengembalikan kebebasan serta kedaulatan. Pengorbanan mereka sepatutnya disambut oleh rakyat dengan pujian dan tangan terbuka, akan tetapi realitinya tidak demikian.

Mereka terpaksa menyedarkan masyarakat dengan keringat dan air mata, tidak kurang pula yang terpaksa berkorban dengan nyawa dan darah. Begitulah resam perjuangan disepanjang zaman.

Walaupun jihad ilmu kelihatan pada mulanya agak selamat kerana tidak melibatkan senjata dan peperangan, namun pada hakikatnya jihad ilmu juga berdepan dengan cabaran yang besar dan memerlukan kegigihan dan pengorbanan. Mungkin kerana itulah Rasulullah saw memasukkan jihad ilmu sebagai pahala jariah yang berkekalan kebaikannya.

12 Muharram 1440
12 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *