*TADABBUR WAHYU SIRI 327*

*2.164.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 168*
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُواْ مِمَّا فِي الأَرْضِ حَلالاً طَيِّبًا وَلاَ تَتَّبِعُواْ خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ

168-Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.

Mengikut Ibnu Asyur, yang dimaksudkan dengan mengikut jejak langkah syaitan ialah mengikut bisikan syaitan kepada perasaan manusia. Ini kerana syaitan mempunyai keupayaan untuk berinteraksi dengan jiwa manusia lalu menimbulkan keinginan dan perlakuan yang bertentangan dengan kehendak Allah.

Ibnu Asyur mengumpamakan keupayaan syaitan seperti tenaga megnetik yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar tetapi hakikatnya wujud.

Disamping daya dan usaha syaitan ini,  Allah menjadikan di dalam diri manusia ada satu kekuatan yang bertindak menolak tarikan dan bisikan tersebut. Daya yang dimaksudkan itu ialah kehendak dan keazaman manusia itu sendiri. Disamping kekuatan kehendak itu, Allah bekalkan juga kepada manusia kekuatan akal yang mampu menilai baik dan buruknya sesuatu perkara. Dengan kehendak dan akal pertahanan manusia terhadap bisikan dan bisikan syaitan menjadi ampuh.

Selain itu seorang mukmin diberikan pula dengan panduan agama yang berupa petunjuk yang memberikan gambaran sebenar dan lebih jelas terhadap hakikat kebaikan dan keburukan.

Dalam pertarungan ini, syaitan berusaha sedaya upaya untuk menunjukkan kepada manusia jalan yang salah dengan membisikkan perkara yang salah itu sebagai kebenaran dan perkara yang buruk itu sebagai kebaikan.

Dengan itu, keazaman dan keinginan yang tinggi untuk mencari kebenaran, menggunakan akal yang diberikan Allah dan berpandukan kepada agama, manusia dapat mendepani cabaran  syaitan itu dengan jayanya.

Adapun manusia yang tidak beriman dengan agama, akan kehilangan satu panduan terpenting, sementara mereka yang tidak menyuburkan akal yang waras akan kehilangan senjata seterusnya untuk berdepan dengan syaitan.

Adapun mereka yang tidak mempunyai keazaman dan kehendak untuk memenangi pertarungan ini akan mengikut sahaja bisikan syaitan dan ketika itu mereka tidak menyedari hakikat kehidupan yang penuh dengan pertarungan ini lalu mereka mengikut jejak langkah syaitan.

Ayat ini sebenarnya mempunyai maklumat tersirat yang mungkin sesetengah pembaca tidak perasan dengannya. Maksud yang tersirat itu ialah memakan makanan yang halal itu adalah arahan tuhan, oleh itu salah satu strategi syaitan dalam menyelewengkan manusia dalam hidup di dunia ini ialah dengan menyuruh mereka memakan makanan yang haram. Seperti yang diketahui tabiat syaitan ialah menyuruh manusia melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kehendak tuhan.

Makna tersirat kedua ialah jika yang disebut disini arahan memakan makanan yang halal, maka termasuk dalam arahan ini juga ialah meminum minuman yang halal. Hal ini  tidak disebut kerana ia sedia difahami, ini kerana tidak ada manusia yang makan tetapi tidak minum.

Seperti yang pernah ditemui sebelum ini, al-Quran sering menggunakan teknik memendekkan penyampaian agar penyampaiannya tidak meleret-leret dan membosankan. Selain itu al-Quran juga menggalakkan pembaca untuk berfikir dan melatih pemikiran kritis.

Sabtu
21 Muharram 1440
21 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *