*TADABBUR WAHYU SIRI 328*

*2.165.1 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 169*
إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاء وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

169-Sesungguhnya dia menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Dalam rangkap terakhir ayat yang lepas Allah telah menerangkan bahawa syaitan adalah musuh kamu yang nyata. Penerangan ini mengikut Ibnu Asyur, dari satu sudut merupakan pemberitahuan terhadap satu maklumat yang telah diketahui oleh masyarakat ketika itu.

Ini kerana masyarakat sebelum Islam telah percaya bahawa syaitan adalah musuh kepada manusia. Namun demikian beliau juga meletakkan kemungkinan ayat ini bermaksud menegaskan pemberitahuan permusuhan ini kerana ada orang yang mengikut jejak langkah syaitan, jadi mereka berada dalam situasi seoleh-olah tidak sedar bahawa syaitan itu musuh mereka, jika tidak masakan ajakan syaitan itu diturutinya.

Apabila diperhatikan kearah tamadun silam, didapati bahawa manusia terdahulu dari berbagai bangsa dan agama telah mempercayai bahawa syaitan adalah musuh manusia. Orang-orang Iraq kuno telah menggambarkan syaitan dalam bentuk naga yang membunuh manusia dan membawa penyakit.

Begitu juga tamadun-tamadun manusia lain termasuklah orang-orang India, China dan Eropah. Semuanya percaya syaitan sebagai musuh manusia tetapi dalam bentuk dan gambaran masing-masing.

Namun demikian kepercayaan-kepercayaan tersebut hampir sama dalam beberapas sudut antaranya mereka percaya bahawa syaitan adalah makhluk yang mempunyai kuasa dan sangat merbahaya kepada manusia.

Bahkan mereka percaya bahawa tuhan teraksa bertarung dengan syaitan untuk mengalahkannya. Mereka juga percaya bahawa syaitan boleh membunuh manusia dan mendatangkan penyakit. Dengan itu ayat 169 daripada surah al-Baqarah ini membawa satu dimensi baru kepada manusia dalam mengenali pertarungan mereka dengan syaitan.

Walaupun manusia telah percaya bahawa syaitan adalah musuh kepada manusia akan tetapi kepercayaan mereka itu tersasar apabila menyangka bahawa syaitan mempunyai kekuatan luar biasa yang memberi kesan fizikal. Al-Quran memberikan bimbingan kepada manusia bahawa pertarungan sebenar antara syaitan dan manusia bukannya pertarungan fizikal akan tetapi syaitan adalah makhluk yang cuba mendorong manusia agar tersasar dari jalan Allah.

Syaitan adalah makhluk yang mengganggu manusia agar manusia tidak menjadi hamba yang taat kepada tuhanya. Dan kali ini Allah menjelaskan apakah cara yang digunakan oleh syaitan untuk mencapai maksud mereka dalam merosakkan kehidupan manusia itu.

Cara yang dimaksudkan ialah dengan menyuruh manusia melakukan perbuatan su’ dan fahsya’. Perkataan su’ diterjemahkan dengan makna jahat sementara perkataan fahsya’ diterjemahkan dengan makna keji.

Mengikut Ibnu Asyur perkataan su’ membawa makna kejahatan yang membawa kemudaratan sementara perkataan fahsya’ membawa makna kejahatan yang menyalahi akhlak dan adab yang mulia.

Apa yang jelas ialah Allah mengingatkan manusia bahawa pertembungan manusia dengan syaitan adalah pertembungan yang bersifat kerohanian dimana syaitan bersifat membisikkan idea dan keinginan dalam melakukan kejahatan.

Ahad
22 Muharram 1440
22 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *