*TADABBUR WAHYU SIRI 329*

*2.165.2 Tadabbur Surah al-Baqarah Ayat 169*
إِنَّمَا يَأْمُرُكُمْ بِالسُّوءِ وَالْفَحْشَاء وَأَن تَقُولُواْ عَلَى اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ

169-Sesungguhnya dia menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui (salah benarnya).

Rangkap terakhir dalam ayat ini ialah penerangan terhadap salah satu daripada kejahatan yang menjadi senjata bagi syaitan untuk membuatkan manusia tergelincir dari jalan Allah.

Dalam rangkap sebelum ini dijelaskan bahawa syaitan mengajak kepada “su” dan “fahsya’”. Adapun dalam rangkap terakhir ini, dijelaskan pula salah satu daripada contoh  tipu daya syaitan iaitu: “supaya kamu berkata terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui”.

Contoh yang disebut ini sangat menarik kerana ada manusia yang menyangka bahawa mereka dikira berbuat baik hanya apabila mereka bercakap tentang Allah.

Keadaan ini menyebabkan mereka tidak sedar bahawa apa yang mereka katakan itu adalah berada dalam perancangan tipu daya syaitan. Apakah yang dimaksudkan dengan bercakap tentang Allah apa yang kamu tidak ketahui ?

Ia bukan hanya bermaksud bercakap tentang zat Allah semata-mata, tetapi termasuk dalam makna ayat ini ialah bercakap tentang agama Allah. Ini kerana kehendak agama adalah merupakan kehendak Allah. Hukum hakam yang dinisbahkan kepada agama adalah dinisbahkan kepada Allah sebenarnya. 

Apabila seorang mengatakan sesuatu perkara itu halal atau haram bukan bermaksud dia telah menghalal atau dia mengharamkan dari dirinya sendiri. Akan tetapi dia beranggapan perkara yang disebut itu adalah halal atau haram disisi Allah.

Jika sekiranya hujah yang diambil adalah dari nas-nas Al-Quran atau hadis yang terang atau dipanggil qatie maka halal dan haram itu jelas sratus peratus dari Allah. Adapun jika dia berijtihad disebabkan tidak ada nas Al-Quran atau hadis yang bersifat qatie maka halal dan haram tersebut adalah pada tahap kemungkinan itulah yang Allah kehendaki.

Dalam apa keadaan sekalipun mestilah orang yang bercakap tentang agama Allah beranggapan dia bercakap tentang sesuatu fakta yang dirujuk kepada Allah.

Bayangkan betapa berdosanya apabila seseorang bercakap tentang agama Allah dengan menggunakan kepentingan diri dan nafsu sebagai sandaran.

Begitu juga jika seseorang yang tidak mempunyai kemahiran tetapi tiba-tiba mengeluarkan kenyataan berkaitan bidang keagamaan. Sudah tentu ia merupakan dosa yang besar kerana tindakan itu akan membawa kekeliruan dan kesesatan dalam amalan agama.

Seperti yang diberitahu sebelum ini setiap kali adanya hal yang membawa kemurkaan Allah dan kemusnahan kepada kebahagiaan manusia di dunia dan di akhirat, maka disitulah adanya tipudaya syaitan yang suka mengajak manusia kearahnya.

**ramai orang yang suka bercakap tentang agama dalam media sosial walaupun mereka tidak mempunyai kepakaran dan kepandaian dalam bidang ini, kelihatan mereka berbuat kebaikan tapi hakikatnya mereka sedang mengundang kemurkaan Allah.

Isnin
23 Muharram 1440
23 September 2019
Ustaz Rosli Mokhtar
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk sumbangan pembangunan Tadabbur Wahyu:
TADABBUR WAHYU SOLUTION (May Bank No Ac: 562263546814) Maklumkan sumbangan anda dengan whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Rujukan: Kitab al-Tahrir wa al-Tanwir, Tafsir al-Manar, Tafsir al-Qurtubi, Tafsir al-Muharrar al-Wajiz.
🌟🌟🌟🌟🌟🌟
Untuk terima Siri Tadabbur Wahyu sila whatsapp 01158935652
🌟🌟🌟🌟🌟🌟

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *